SEBERANG JAYA – Seiring dengan pemasyhuran Seberang Perai sebagai bandar raya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini melancarkan dokumen Hala Tuju Strategik Ke Arah Bandar Raya Seberang Perai Yang Mampan dan Lestari sebagai pelan jangka pendek.
Dokumen tersebut dilancarkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dekat Lobi Ibu Pejabat MBSP Bandar Perda, di sini sebentar tadi.
Jagdeep berkata, dokumen tersebut mengandungi 18 program dan enam garis panduan baru yang akan dilaksanakan MBSP dalam tempoh tiga bulan selepas berstatus bandar raya untuk membawa perubahan dinamik kepada penduduk Seberang Perai.
“Tumpuan utama akan diberikan melalui hala tuju ini adalah penaiktarafan premis-premis makanan yang mana kita mahu sekurang-kurangnya 70 peratus daripadanya berada pada Gred A dan 30 peratus pada Gred B menjelang tahun 2020.
“Begitu juga dengan tahap kebersihan di pasar-pasar awam yang mana sekurang-kurangnya 50 peratus pasar awam di Seberang Perai perlu berada pada Gred A dan 50 peratus lagi pada Gred B.
“Beberapa undang-undang kecil juga akan digubal bagi memberi kuasa kepada MBSP untuk menutup mana-mana premis yang didapati tidak mencapai syarat-syarat pelesenan, tahap kesihatan atau gred-gred ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran dokumen berkenaan.
Turut serta, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur’Aishah Md. Norodin.
Mengulas lanjut, Jagdeep menjelaskan bahawa pelbagai program untuk pembangunan ekonomi tempatan bakal dilaksana di bawah pelan berkenaan yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
“Paling penting adalah tema MBSP iaitu untuk menjadi bandar raya rendah karbon melalui pelaksanaan pelbagai strategi termasuk pengangkutan hijau, bangunan hijau, infrastruktur hijau, penghasilan dan penggunaan yang mampan.
“Selain itu, pelbagai langkah telah diambil untuk menjadikan Seberang Perai sebagai kawasan pintar selaras dengan Visi Penang2030 yang memberi keutamaan ke arah menjadi Negeri Pintar,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Rozali menegaskan bahawa penaiktarafan MBSP bukan hanya pada nama sahaja sebaliknya berserta perubahan-perubahan yang dimahukan oleh seluruh penduduk Seberang Perai.
“Justeru, saya bersama-sama dengan Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan serta ‘Wira Oren’ akan melaksanakan hala tuju ditetapkan dan saya yakin penduduk akan merasakan perubahan kerana cadangan-cadangan ini adalah hasil daripada sesi perbincangan bersama,” hurainya.
Difahamkan, enam garis panduan baru dilancarkan MBSP adalah melibatkan Garis Panduan Trak Makanan, Garis Panduan Pusat Mencuci Kenderaan Sementara Secara Manual, Garis Panduan Lesen Bertempoh, Garis Panduan Permit Sementara Perniagaan, Garis Panduan Penyediaan Pemasangan Lampu Jalan dan Garis Panduan Penyediaan Laluan Berbasikal.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS