MBSP larang operasi premis tanpa CCC, lesen perniagaan – Datuk Bandar

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melarang pengoperasian mana-mana premis tanpa Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) berwajib.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata pentadbirannya telah mengambil tindakan pendakwaan terhadap sebuah taman tema air di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) gara-gara beroperasi tanpa CCC.

“Pada 22 Mei 2023, Orang Kena Saman (OKS) telah mengaku salah atas pertuduhan membenarkan sesuatu bangunan diduduki tanpa perakuan siap dan pematuhan CCC di bawah seksyen 70(27)(f) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (yang mana) jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000,” jelasnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Menara Bandaraya pada 23 Jun 2023.

Mengulas lanjut, beliau berkata Mahkamah Sesyen Butterworth telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM115,000 dan OKS telah menjelaskan denda tersebut di mahkamah yang sama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh warga bandar raya Seberang Perai supaya senantiasa mematuhi undang-undang termasuk tidak sewenang-wenangnya menduduki atau membenarkan pengoperasian premis tanpa CCC.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata perniagaan dalam premis juga perlu mempunyai lesen premis perniagaan yang sah dikeluarkan oleh MBPP.

Pada 11 Mei lepas, beliau memberitahu bahawa Mahkamah Mejistret MBSP telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau gagal bayar berdepan risiko penjara tujuh hari terhadap OKS kerana menjalankan aktiviti perniagaan dalam premis dekat sebuah pangsapuri kos rendah di Lorong Tuna, Seberang Jaya tanpa lesen premis perniagaan.

“Sekiranya OKS masih menjalankan perniagaan, denda berterusan akan dikenakan sebanyak RM20 pada setiap hari dari tarikh hukuman dijatuhkan,” jelas beliau sambil memberitahu bahawa pentadbirannya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen berwajib.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR