GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganjurkan Program Penghapusan Tikus Bersama-sama Komuniti bermula pada 31 Januari hingga 4 Februari lepas.
Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu bahawa program komuniti itu berjaya menangkap sejumlah 221 ekor tikus, yang mana program tersebut menerima 60 penyertaan termasuk 20 hingga 30 orang komuniti, 15 anggota MBSP serta 10 orang Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) dari Universiti Malaya.
“Menariknya, program berkaitan turut memperkenalkan Projek Zero Rodent (ZoRo): Rat to Cash 2023 bertujuan membuka peluang kepada komuniti untuk memperoleh hadiah wang tunai dari hasil tangkapan tikus mahupun hidup atau mati (untuk tujuan penyelidikan).
Buletin Mutiara difahamkan, tiga pasar awam iaitu di Bagan Ajam, Bukit Mertajam dan Tambun Indah antara lokasi pengumpulan hasil tangkapan tikus dalam program komuniti tersebut.
“(Program menangkap tikus dengan penglibatan komuniti) akan diperluaskan ke kawasan perumahan dan kejiranan dengan bangunan berstrata melalui kempen pada masa hadapan,” lapor sumber.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : JABATAN PERKHIDMATAN KESIHATAN MBSP