MBSP, MBPP diarah siap siaga hadapi bencana banjir susulan fasa peralihan monsun

img 20241016 wa0021

SEBERANG JAYA – Kedua-kedua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga susulan fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September dan dijangka berterusan sehingga awal November ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita selepas melancarkan sistem i-SWeeP dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

“Sejak minggu lepas saya telah arahkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk bersedia menghadapi fasa perubahan monsun.

“Saya percaya bahawa dari minggu lepas lagi kita (PBT) sudah melakukan persiapan rapi dari segi jentera dan khidmat talian bantuan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata, daerah Seberang Perai Utara (SPU) kini terdedah kepada kejadian banjir ekoran air Sungai Muda yang dilaporkan berada pada paras agak tinggi ketika ini.

“Hari ini kita difahamkan bahawa paras air Sungai Muda agak tinggi, sekali gus menyebabkan daerah SPU terdedah kepada risiko banjir.

“Sebab itu saya maklumkan kepada kedua-dua Datuk Bandar (MBSP dan MBPP) supaya sentiasa bersiap sedia,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua PBT sudah mempunyai pasukan pengurusan krisis masing-masing.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD