MBSP, One Hope Charity hantar bantuan bencana banjir lebih RM100,000 ke Tumpat, Kelantan

35b2d793 7232 4b50 819d 9cc710dbc483 ACARA pelepasan aset MBSP yang membawa bantuan keperluan harian dan pek makanan untuk mangsa bencana banjir di Jajahan Tumpat, Kelantan, berlangsung di lobi Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya pada 5 Disember 2024.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggerakkan asetnya berupa empat lori dan sebuah pacuan empat roda yang sarat dengan pelbagai barang keperluan asas, untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa bencana banjir di jajahan Tumpat Kelantan.

0f061fd2 7ebc 4650 8ffd 7f02ecf31850
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye bersama-sama Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta Pengerusi One Hope Charity, Dato’ Chua Sui Hau menyempurnakan upacara pelepasan misi bantuan bencana tersebut di perkarangan lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pada 5 Disember 2024.

Bercakap kepada media selepas itu, Jason yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata misi bantuan bencana ketiga negeri pada kali ini bernilai lebih RM100,000 yang mana disumbangkan oleh One Hope Charity.

Jurucakap One Hope Charity yang ditemui sebelum itu memberitahu bahawa lebih RM100,000 nilai bantuan yang disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, antaranya 100 kotak lampin pakai buang dewasa, 60 kotak lampin pakai buang kanak-kanak, 20 kotak tuala wanita, 500 pasang selipar dan 500 set peralatan makanan.

Selain itu, misi bantuan bencana One Hope Charity dan MBSP pada kali ini turut membawa bantuan makanan ke Tumpat; seperti 600 tong biskut, 10,000 bungkus roti, 200 kotak mi segera, 400 paket oat, 400 tin mentega kacang, 400 tin sardin, 63 kotak Milo, 114 kotak susu dan 250 kotak air soya.

85f2dcb5 84c4 40d4 8de8 e9af6b4adb33
JASON H’ng Mooi Lye sendiri sambil memegang bendera Pulau Pinang mengetuai acara pelepasan misi bantuan bencana banjir MBSP dan One Hope Charity ke Jajahan Tumpat, Kelantan, dalam majlis berkaitan di Menara Bandaraya di sini pada petang ini.

Difahamkan, sebelum ini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggerakkan asetnya untuk kerja-kerja pemulihan pasca bencana banjir ke jajahan Pasir Mas, Kelantan.

Sementara misi bantuan kedua pula dikelola oleh Bahagian Pengurusan Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kerja-kerja pemulihan pasca bencana di Alor Setar, Kedah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD