MBSP penanda aras penyediaan bajet berorientasi rakyat – Exco

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam penyediaan bajet dan rancangan pembangunan yang berorientasikan rakyat di peringkat Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Wanita, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, ia berikutan kejayaan MBSP menganjurkan pertandingan ‘GRPB Champion Award 2019’ iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan mengiktiraf jabatan-jabatan dan unit-unit dalaman MBSP yang melaksanakan program atau projek menggunakan kaedah Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB), tetapi juga untuk memastikan matlamat kelompok berlainan dapat difahami.

Jabatan Landskap MBPP dinobatkat sebagai juara ‘GRPB Champion Award 2019’ dan berjaya membawa pulang RM7,000.

“Apabila MBSP mengambil kira pendapat dan suara komuniti serta keperluan mereka yang berbeza-beza dalam perancangan bajet sesuatu program atau projek, maka komuniti dengan sendirinya akan mempunyai rasa pemilikan bersama dan seterusnya menjadi rakan kerjasama erat di peringkat akar umbi,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berkaitan dekat Menara Bandaraya di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ketua Pegawai eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pengerusi PUSPANITA MBSP, Datin Che Limah Ujang serta barisan kakitangan MBSP.

Mengulas lanjut, Chong Eng menegaskan bahawa GRPB yang menjadi strategi pelaksanaan utama kepada Dasar Keterangkuman Gender yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri adalah selaras dengan Visi Penang2030.

“Oleh itu, saya berharap agar MBSP dapat terus menjadi peneraju bukan sahaja untuk GRPB malah juga dalam penginstitusian Dasar Keterangkuman Gender di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Beng Leng dalam ucapannya memberitahu bahawa pertandingan berkenaan akan diteruskan lagi pada tahun depan dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.

Difahamkan, kesemua 21 jabatan dan unit dalaman MBSP mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang turut mendapat kerjasama daripada PWDC.

Pertandingan tersebut menyaksikan Jabatan Landskap MBSP dinobatkan sebagai juara manakala Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Jabatan Kejuruteraan MBSP masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NOORNABILAH NOORAZIS