PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5, Taman Chai Leng, Perai demi keselesaan para penjaja serta pengunjung lokasi berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa bagi memudahkan kerja-kerja naik taraf tersebut, para penjaja akan dipindahkan sementara ke Dewan Serbaguna Taman Chai Leng yang terletak bersebelahan tapak penjaja kini.
“Seperti kita semua tahu tapak penjaja sekarang sebenarnya adalah berstatus sementara dan wujud sejak tahun 1990-an.
“Pemindahan sementara ini bakal mengambil tempoh dua tahun dan adalah diharapkan selepas dinaik taraf, kompleks makanan ini akan menjadi mahsyur bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat bahkan juga pelancong dari luar Pulau Pinang.
“Justeru, saya berharap proses pelaksanaan ini akan berjalan lancar dan semua pihak akan bekerjasama termasuk untuk meneruskan perniagaan di tapak sementara ini,” ujarnya pada Sesi Taklimat Kepada Peniaga Bagi Projek Menaik Taraf Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5, Taman Chai Leng di sini pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dr. P. Ramasamy merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Ahli-ahli Majlis bagi MBSP dan Ketua-ketua Jabatan MBSP.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan mahu barisan Ahli Majlis MBSP dan wakil persatuan penjaja memainkan peranan untuk mengadakan perbincangan sehingga selesai jika timbulnya masalah agar projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu, Azhar memberitahu bahawa MBSP telah menerima cadangan bagi menaik taraf pusat penempatan penjaja berkaitan sejak 2019, namun ia tidak dapat dilaksanakan dengan segera ekoran kekangan kewangan serta perlu meneliti pelaksanaan kerja-kerja berkaitan dengan sebaik-baiknya.
“Oleh yang demikian, MBSP sedang mengatur perancangan bagi menaik taraf Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5, Taman Chai Leng secara keseluruhan bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kompleks ke arah memastikan semua kompleks makanan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) mencapai Gred A.
“Pelaksanaan skop-skop kerja terbabit adalah meliputi penyediaan 90 unit petak niaga; kemudahan bekalan air dan elektrik secara individu; kemudahan fasiliti seperti perangkap minyak dan gris; ruang gerai dan ruang makan; pembinaan tandas baru; akses laluan pejalan kaki; penyediaan tapak inklusif berbumbung serta berlantai mozek dan juga kemudahan sinki.
“Projek ini dijangka akan diiklankan pada Jun 2023 dan (dijangka) mula untuk pelaksanaan pada Oktober ini dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan,’’ jelasnya lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai usaha pembenihan awan bagi meningkatkan kadar kapasiti beberapa empangan di negeri ini, Kon Yeow menyatakan bahawa hasilnya akan dapat dilihat dalam beberapa hari lagi.
“Sebenarnya, proses pembenihan awan sudah bermula dan siap, tiga hari sahaja dan beberapa hari ini sudah hujan.
“Tetapi cabarannya sama, adakah hujan itu turun untuk mengisi kawasan tadahan empangan kita, (namun) kita akan dapat tahu hasilnya dalam beberapa hari lagi,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS