SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menyaman enam empunya tanah dan dua pemaju di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana aktiviti mewujudkan ‘lot lidi’.
Kesemua lapan Orang Kena Saman (OKS) didakwa atas kesalahan tidak mematuhi Notis Supaya Memulihkan Semula Tanah kepada keadaan asal dalam hal pemajuan tanpa kebenaran merancang di bawah Seksyen 27 (2) (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu bahawa salah seorang OKS telah mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM35,000.
“Pemajuan ini merupakan pemajuan yang menjadikan tanah-tanah tersebut sebagai ‘lot lidi’.
“Aktiviti pemajuan tersebut dijalankan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU),” tegasnya sambil memberitahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan nekad mengambil langkah penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti pemajuan tanpa mendapat Kebenaran Merancang.
Difahamkan, ‘lot lidi’ merujuk kepada sebidang tanah yang dipecah-pecahkan kepada lot-lot kecil oleh pemiliknya untuk dijual; sementara pembeli tidak menerima geran sebagai bukti sah pemilikan dan mungkin hanya menerima Surat Ikatan Amanah.
Oleh kerana tiada geran, maka, ‘lot lidi’ ini tidak boleh digunakan sebagai cagaran atau diwariskan kepada anak-anak selepas kematian ‘pemilik’.
Mengulas lanjut, Baderul Amin memberitahu bahawa aktiviti mewujudkan ‘lot lidi’ khususnya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan; boleh menjejaskan agenda pembangunan terancang serta kepentingan awam.
“MBSP juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala notis dan syarat yang telah dikeluarkan bagi memastikan pembangunan di Seberang Perai berjalan dengan teratur dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan.
“Tindakan undang-undang akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan ini,” jelasnya lagi semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-609 Bil.3/2025 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada 20 Mac 2025.
Terdahulu, pada 9 Mac lepas, Baderul Amin bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa melawat salah satu tapak cadangan ‘lot lidi’ haram di Lot 1342 dan 1354, Mukim 5, Permatang Ara, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Bercakap kepada pemberita semasa itu, Baderul Amin mendedahkan bahawa sejak tahun lepas direkodkan sejumlah 28 kes di SPU; 26 kes di SPT dan tujuh kes di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pada 1 Ogos tahun lepas satu pihak OKS telah hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerja-kerja tanah dan mewujudkan ‘lot lidi’ di tanah sawah padi, lalu dijatuhkan hukuman denda RM25,000.
Menurutnya lagi, OKS pada 19 Ogos tahun lepas juga turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan menambun tanah sawah padi bagi tujuan mewujudkan ‘lot lidi’ yang mana masing-masing didenda sebanyak RM10,000 dan RM5,000.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS