MBSP sasar wujudkan 50 hab kebun bandar menjelang 2030 – Datuk Bandar

AZHAR Arshad (dua dari kiri) pada petang tadi (15 Oktober 2023) turut menyempurnakan acara menanam anak pokok Belimbing Buloh di sini sebagai gimik perasmian penutup Program Pemerkasaan ‘Urban Farming’ Melalui Kaedah Alami Peringkat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya.

BAGAN JERMAL – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 50 kebun bandar menjelang tahun 2030, dengan mengambil kira 17 hab sedia ada di pelbagai lokaliti sekitar kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

AZHAR Arshad

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Pemerkasaan ‘Urban Farming’ Melalui Kaedah Alami di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya di sini pada 15 Oktober 2023.

“Orang tua kita di kampung-kampung dahulu tidak payah pun beriya nak ke pasar kerana sayur-sayuran seperti sawi, terung, bendi, kacang panjang dan sebagainya mereka tanam di atas tanah dekat belakang rumah sahaja.

“Dengan keadaan tanah yang subur dan iklim yang sesuai, memang tidak payah untuk berkebun atau menternak di belakang rumah sahaja, cukup untuk sara diri dan bukan untuk berniaga.

“Oleh kerana tempat tinggal sekarang tidak mempunyai tanah seperti orang tua kita dulu-dulu, kita boleh cuba kebun bandar dengan bercucuk tanam dalam pasu umpamanya; cukup untuk sara hidup kita (dan bukan untuk berniaga),” jelasnya.

Di samping itu, beliau berkata bahawa MBSP percaya usaha memperkasa program kebun bandar juga sekali gus menyumbang pada usaha mengukuhkan agenda
keterjaminan makanan serta mengurangkan perbelanjaan harian dalam mendepani peningkatan kos sara hidup; sebagaimana dihasratkan pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata MBSP mengalu-alukan penganjuran bengkel pemerkasaan kebun bandar yang dilaksanakan Urbanice Malaysia iaitu agensi persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

DR. Mohd. Rizal Osman

Sebelum itu, Ketua Pegawai Operasi Urbanice Malaysia, Dr. Mohd. Rizal Osman dalam ucapannya menjelaskan mengenai kaedah pelaksanaan kebun bandar secara alami (permaculture) kepada para peserta bengkel dalam kalangan penghuni PPR di sini.

Buletin Mutiara difahamkan para peserta bengkel berkenaan didedahkan dengan empat modul berkaitan kebun bandar meliputi tekno semaian anak benih; penghasilan baja kompos; dan kawalan serangga; serta Sistem Hidroponik Teknik Filem Nutrien (NFT) bagi menjana pendapatan sampingan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB