MBSP sasar wujudkan 50 hab Pertanian Bandar Organik menjelang 2030

Admin

TASEK GELUGOR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meletakkan sasaran untuk mewujudkan sebanyak 50 hab Pertanian Bandar Organik atau Organic Urban Farming menjelang tahun 2030.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, sasaran serampang dua mata ini mampu meningkatkan aktiviti ekonomi bandar dan peluang pekerjaan dalam bidang perladangan, pembungkusan dan pemasaran produk akhir.

 

“Sasaran tersebut juga membolehkan pembuangan 41 peratus sisa organik ke tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan penghasilan gas metana (CH4) dan pemanasan global,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Hijau (PPH) Padang Cempedak dekat sini pada 24 Oktober 2021.

 

TANAMAN fertigasi yang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai bersama-sama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Urbanest Sdn. Bhd. di Pusat Pendidikan Hijau Padang Cempedak, Tasek Gelugor. 

 

Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor hadir menyempurnakan perasmian pusat berkenaan yang turut dihadiri oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

 

Menurut Rozali, selain membangunkan PPH Padang Cempedak, pihaknya juga akan memperluaskan skop berkebun di belakang rumah dan berkebun di beranda kepada pertanian bandar mulai tahun hadapan.

 

MBSP telah menentukan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan 50 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2022 daripada daripada 8 tan setara karbon dioksida (CO2e) per kapita kepada 4 tan CO2e per kapita.

 

“(Seiring) itu, MBSP juga komited untuk menangani perubahan cuaca dengan mensasarkan had pemanasan global ke 1.5 darjah celcius dan menjadi bandar raya neutral karbon pada tahun 2030 seterusnya menjadi bandar raya bebas karbon pada tahun 2050.

 

“Seiring dengan Visi Penang2030, MBSP turut amat komited menjadi Bandar Raya Pintar pada tahun 2030 nanti,” jelasnya.

 

Terdahulu, pada 2 Oktober 2021 lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah melancarkan Pelan Tindakan Circular Economy yang bakal menjadi panduan dalam memastikan pola penghasilan dan penggunaan di Seberang Perai dapat diubah daripada model linear kepada model pusingan.

 

“Perubahan model ini hanya dapat direalisasikan melalui pembaharuan dasar dan penggunaan teknologi yang meluas pada tahun 2022 sehingga 2030 nanti,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & MBSP