MBSP setuju beri lanjutan tempoh pindah ke pasar awam baharu

Admin
c6851e13 5bf3 4675 9ab1 1e3a8432521b

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersetuju untuk memberi lanjutan tempoh perpindahan kepada semua peniaga dan penyewa pasar awam yang kini beroperasi di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya ke pasar awam baharu sehingga 15 April 2025.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira isu yang timbul termasuk rungutan daripada pelbagai pihak yang perlu diselesaikan sebelum ini.

 

“Sebelum ini, seramai 90 penyewa di Kompleks Makanan Jalan Tenggiri dan 100 penyewa di Pasar Awam Seberang Jaya ditempatkan di bangunan sementara sejak Mac 2019 bagi memudahkan pembinaan semula pasar awam baharu.

 

“Selepas mengambil kira isu serta rungutan yang timbul, maka pihak MBSP bersetuju memberikan tempoh tangguh sehingga 15 April 2025 kepada semua penyewa pasar awam dan juga peniaga pasar pagi untuk berpindah ke pasar awam baharu yang siap dibina.

 

“(Dan) perpindahan ini turut melibatkan peniaga di bazar Ramadan di sini yang akan beroperasi sehingga 30 Mac ini,” ujarnya dalam sidang media di Menara Bandaraya MBSP di Bandar Perda pada 3 Mac 2025.

 

Mengulas lanjut, Baderul Amin memberitahu bahawa pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana peniaga dan penyewa yang ingin berpindah lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

 

“Berhubung tempoh bayaran sewaan yang dikenakan terhadap penyewa gerai, juga akan berkuat kuasa mulai 1 Mei nanti.

 

“Kaedah bayaran sewaan pula, boleh dibuat sama ada mengikut Jadual Bayaran A atau Jadual Bayaran B.

 

“Jadual Bayaran A, jumlah sewaan semasa dibuat satu bulan sebelum berpindah ke pasar awam baharu dan seterusnya pembayaran untuk cagaran selama tiga bulan sewaan dibayar sepenuhnya pada bulan berikutnya.

 

“Manakala Jadual Bayaran B, jumlah cagaran sewaan dan semasa dijelaskan sepenuhnya sebelum berpindah ke pasar awam baharu,” jelasnya.

 

Difahamkan, jumlah peniaga yang terlibat di pasar awam baharu adalah 460 merangkumi gerai basah sebanyak 112 gerai; gerai kering (51); gerai makan (90); pasar pagi (97) dan bazar Ramadan (110).

 

Gambar bangunan yang dibina semula ;

whatsapp image 2025 03 04 at 15.40.42

846f62b7 bdb5 4596 9c22 b72cdd75edbc

8861c168 c4a8 4f8d 87f2 fa0f9655bf3c

Oleh: NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar: MBSP