SEBERANG JAYA – Pembayaran cukai taksiran, kompaun parkir kenderaan serta sewaan gerai dan kompleks Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini boleh dibuat melalui aplikasi Touch N Go e-Wallet dan Shopee.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad memberitahu bahawa tambahan dua saluran pembayaran secara tanpa tunai itu diharap bukan sahaja membantu pelanggan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, malah dapat mengekang penularan COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini.
“Sebelum ini, MBSP menyediakan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian melalui kioks MBSP, (aplikasi) Boost dan di (kedai serbaneka) 7 Eleven; sekarang kita tambah dua saluran lagi.
“Pembayaran cukai taksiran melalui dua aplikasi ini akan melayakkan pemilik premis menyertai cabutan bertuah Promosi Cukai Taksiran 2022 dan Menang Wan Tunai dengan syarat cukai setahun 2022 perlu dijelaskan sepenuhnya selewat-lewatnya 28 Februari 2022,” jelasnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bil. 1 / 2022 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Januari 2022.
Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua-ketua jabatan turut sertai mesyuarat bulanan tersebut.
Menurut Azhar lagi, saluran pembayaran menerusi Touch N Go e-Wallet kepada MBSP pada 1 Januari 2022, sementara menerusi aplikasi Shopee bermula 31 Januari 2022.
Sebelum mengakhiri mesyuarat, beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh penduduk Seberang Perai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS