MBSP tanam 300 pokok bakau, pelihara kawasan ‘flyway site’ EAAF

Admin
img 20240523 wa0026

PENAGA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menanam 300 batang pokok dari spesies Bakau Minyak atau nama saintifiknya Rhizophora apiculata di kawasan bakau di tebing Sungai Tembus sempena Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia hari ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata program tersebut juga adalah sempena Hari Burung Hijrah Sedunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pemuliharaan burung hijrah dan ekosistem mereka pada peringkat global.

img 20240523 wa0015

img 20240523 wa0020

img 20240523 wa0028

 

 

“Kawasan pesisiran pantai dari Teluk Air Tawar sehingga ke Kuala Muda, Penaga termasuk Sungai Tembus sepanjang lapan kilometer (km) diiktiraf sebagai ‘flyway site’ atau tapak persinggahan burung hijrah yang bermigrasi melalui laluan East Asian-Australasian Flyway (EAAF).

“Secara lazimnya, dianggarkan lebih 15,000 ekor burung migrasi dari Timur Laut Benua Asia termasuk Rusia, China, Jepun dan Korea singgah di kawasan Penting Burung dan Biodiversiti (IBA) ini pada setiap tahun untuk mencari perlindungan, berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang ke destinasi lain.

“Kawasan ini juga terdapat sekurang-kurangnya 3,000 burung air tempatan seperti bangau, pucung, sintar, pangling, tiong air, ayam-ayam, ruak-ruak, upeh dan komoran.

“Ini memerlukan kawasan persekitaran dipulihara dan dipelihara dalam mewujudkan ekosistem yang menyediakan habitat kepada pelbagai spesies laut dan pesisiran pantai, termasuklah burung-burung migrasi,” katanya semasa berucap pada program Forest Bathing dan Penanaman Pokok Bakau Sempena Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia dekat Sungai Tembus di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, pegawai-pegawai kanan MBSP; Pengerusi Malaysian Nature Society (MNS), Tan Choo Eng dan para peserta Program Forest Bathing.

Azhar berkata, salah satu kaedah pemuliharaan dan penjagaan ekosistem persekitaran kawasan lembap dan kawasan paya bakau yang menjadi kawasan persinggahan burung hijrah dan juga kediaman burung air adalah melalui penanaman pokok bakau.

“Terdapat pelbagai kepentingan pokok bakau yang mampu memberi manfaat kepada para nelayan kawasan ini kerana mempunyai nilai ekonomi berganda.

“Di samping itu, hutan bakau menjadi penampan kepada angin kencang, ribut dan tebatan kepada pantai dan sungai,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD