MBSP wajar libatkan majikan, warga asing tangani isu lambakan sampah di kawasan perumahan – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (dua dari kanan) saling menyantuni pemimpin komuniti lokal seusai Acara Gotong-Royong dan Program Kemasyarakatan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mangga/Taman Pinang di sini pada 25 Jun 2023.

BUKIT TAMAN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) wajar mengadakan sesi libat urus dengan melibatkan semua majikan berwajib bagi menangani isu lambakan sampah dan sisa akhir di kawasan taman perumahan awam serta lot-lot rumah kedai yang didiami oleh warga asing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa sesi temu bincang dan program kemasyarakatan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mangga/Taman Pinang di sini pada 25 Jun 2023.

“Cuma, dalam isu (lambakan sampah di unit kediaman didiami) warga asing, saya fikir Majlis (MBSP) mungkin perlu mengadakan sesi libat urus dengan majikan kilang-kilang (tempat mereka bekerja) sebagai suatu usaha.

“Mereka (warga asing berkenaan) atau agen-agen pekerja asing ini pun perlu memainkan peranan dengan sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat agar menghormati adat resam serta undang-undang kebersihan (persekitaran),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini pada 25 Jun 2023.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa komuniti lokal dalam kalangan warganegara juga seharusnya melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sama ada dianjurkan oleh agensi kerajaan, persatuan penduduk mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat lokal.

KETUA Menteri (tiga dari kanan) turut meluangkan masa menanam pokok renek di perkarangan dewan serbaguna Taman Mangga, Juru di sini pada awal pagi tadi.

Bagi Kon Yeow, aktiviti gotong-royong serta aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan KRT lokal bukan sahaja akan meningkatkan lagi kualiti kebersihan persekitaran, malah sekali gus menyumbang kepada usaha memerangi wabak denggi pada peringkat daerah.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa MBSP baru-baru ini telah mengambil tindakan berwajib di sebuah premis perniagaan yang dimiliki oleh warga asing, ekoran aduan persatuan penduduk di sini.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Pengerusi KRT Taman Mangga/Taman Pinang, Kashinathan S. Naidu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini atas usaha menaik taraf rumah pam sekali gus mengurangkan risiko banjir di sini berbanding sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD