Md. Nashriq jurulatih cemerlang, tekad beri khidmat terbaik

Admin
img 20240417 wa0058

SANGGUP menempuh perjalanan sejauh 80 kilometer (km) dari Teluk Air Tawar, Butterworth ke Akademi Budo yang terletak di Tanjung Tokong setiap hari demi memberikan yang terbaik kepada para pelajarnya yang juga merupakan Skuad Judo Pulau Pinang.

img 20240417 wa0050
JURULATIH sukan judo, Md. Nashriq Md. Nassir.

MD. NASHRIQ MD. NASSIR, 39, merupakan jurulatih sukan judo Pulau Pinang yang telah berkhidmat selama lebih 18 tahun.

Bercerita mengenai titik awal kerjayanya, pemenang Anugerah Jurulatih Cemerlang Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bagi 2023 juga merupakan seorang atlet sukan judo dan telah melakar banyak kejayaan baik dalam negeri mahupun di pentas dunia.

Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar SIEW CHIA EN berkesempatan menemu bual Md.Nashriq dalam satu sesi wawancara khas baru-baru ini dekat Akademi Budo.

Menamatkan pengajian di salah sebuah universiti sukan judo dekat Jepun, Md. Nashriq kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan memulakan kerja separuh masa dekat akademi ini.

“Selain ingin mencari rezeki, sebenarnya saya pernah tercedera sewaktu perlawanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) sekitar tahun 2005 mengakibatkan kecederaan lutut yang agak teruk.

“Setelah itu, saya berhenti bertanding dan fokus sepenuh masa untuk memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar lain yang sudah tentu bakal menjadi harapan serta menonjolkan keupayaan lebih baik dari saya,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

img 20240417 wa0039
MD. Nashriq memperhatikan gerak geri teknik oleh pelajar semasa sesi latihan.

Md. Nashriq turut berkongsi bahawa beliau hanya bercuti rehat pada hari Ahad manakala hari lain beliau komited meneruskan latihan dan bimbingan di akademi.

“Akademi Budo ini diasaskan sejak tahun 2003, saya juga pernah menjadi salah seorang pelajar di sini serta cemerlang dan berjaya mencipta kejayaan.

“Sudah tentu saya ingin menunjukkan contoh dan bimbingan yang baik dalam mengajar, oleh itu ketepatan masa amat penting diterapkan dalam diri setiap atlet termasuk mereka yang berumur empat tahun (pelajar muda).

“Latihan diadakan setiap hari bermula hari Isnin sehingga Sabtu serta mempunyai beberapa sesi bermula 3.00 petang sehingga 10.30 malam manakala hari Sabtu bermula 10.30 pagi sehingga 6.00 petang,” jelasnya.

Tambahnya lagi, barisan jurulatih di akademi tersebut sering merancang latihan dengan sebaik-baiknya selain memberi sepenuh komitmen supaya pelajar berada pada tahap yang terbaik.

“Buktinya, saya bangga dengan pelajar yang memperoleh kejayaan melalui pelbagai perlawanan yang disertai serata dunia seperti SEA Games, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan banyak lagi,” katanya.

d698e9f3 5b6f 445c 9892 3abdd6e7807d

img 20240417 wa0036
ANTARA teknik mempertahankan diri dalam sukan judo.

Disoal mengenai cabaran sepanjang melatih, Md. Nashriq berkata pembahagian masa pelajar agak sukar dek terlibat dengan aktiviti di sekolah.

“Bagi saya, antara cabaran utama adalah masa berlatih, hal ini kerana kebanyakan pelajar ada yang merupakan pelajar sekolah dan juga universiti, maka jurulatih perlu mengatur jadual sebaiknya supaya tidak mengganggu aktiviti di sekolah seperti kelas tambahan dan sebagainya.

“Sukar jika masa berlatih kurang kerana kehandalan seseorang atlet itu bergantung kepada perkembangan mereka berlatih hari demi hari.

“Ada yang memakan masa tiga hingga lima tahun, manakala bagi yang betul-betul mahir ada juga memakan masa sehingga 10 tahun berlatih, jadi tidak salah latihan ini diterapkan dari awal usia,” katanya yang kini melatih lebih kurang 150 pelajar di akademi berkenaan.

Sebelum beransur pulang, Md. Nashriq sempat menceritakan persediaan pasukan negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA 2024) di Sarawak.

“Syukur alhamdulilah, persediaan menghadapi SUKMA dalam keadaan baik dek latihan yang sering dijalankan, para pelajar tidak kurang menunjukkan perkembangan yang cemerlang.

“Sasaran pada kali ini sama juga seperti SUKMA yang lepas, jika diberikan rezeki kejayaan lebih sudah tentu saya akan bangga dengan pencapaian para pelajar.

“Oleh itu, bagi mereka yang berminat dan ingin mempelajari sukan judo serta memperoleh manfaat yang baik dialu-alukan untuk menyertai kami di sini.

“Adalah menjadi harapan saya lebih ramai lagi masyarakat di negeri ini terlibat dalam sukan seni bela diri seperti judo,” serunya menutup bicara.