BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyertai Medan Fair 2019 di Kompleks Pekan Raya, Sumatera Utara, Indonesia pada 8 Mac hingga 8 April ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, penyertaan Pulau Pinang dalam penganjuran Medan Fair kali ke-48 ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Sumatera Utara.
“Selain berpeluang mencari peluang pasaran baharu di sana, kita (Kerajaan Negeri) juga berhasrat untuk menambah jaringan perniagaan antara Pulau Pinang dan Sumatera Utara.
“Malah, kita juga boleh menguji dan meninjau pasaran di sana bagi memasarkan produk Pulau Pinang di sana,” ujarnya pada sidang media di Pusat Konvensyen Setia SPICE tengah hari tadi.
Hadir sama, wakil-wakil agensi yang akan turut serta dalam Medan Fair 2019 iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Amanah Rakyat (MARA); Halal Penang; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Menariknya, pada penganjuran kali ini, menurut Abdul Halim, sebanyak 33 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menyertai promosi selama 31 hari di Sumatera Utara.
“Penyertaan ini akan membolehkan para usahawan (usahawan bimbingan) IKS Pulau Pinang menerokai pasaran di sana dan mereka ini semuanya dipilih oleh agensi-agensi berkaitan untuk menyertai Medan Fair kali ini.
“(Dan) antara produk yang akan dibawa ke sana adalah produk kosmetik dan penjagaan kulit, biskut, kuih muih tempatan, produk minuman koko, sos, bawang goreng, kopi, mee segera, bubur nasi dan produk kesihatan.
“Kita juga akan mempromosikan makanan ikonik Pulau Pinang seperti roti canai, teh tarik dan hasil tani daripada FAMA.
“Buat pertama kalinya juga, usahawan sarang burung walit akan menyertai Medan Fair 2019,” katanya.
Difahamkan, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan penganjur bagi mengadakan Sesi Taklimat Pelaburan dan Pemadanan Perniagaan (Business Matching) pada 18 Mac 2019 bertempat di Hotel Emerald Garden, Medan.
Yang Terhormat Sekretaris Daerah Provinsi Sumatera Utara dijangka akan memberi ucapan aluan pada sesi taklimat pelaburan berkaitan.
Antara topik taklimat yang bakal disampaikan adalah ‘Pelancongan di Pulau Pinang’, Pembangunan Pelancongan Membeli Belah di Central Business District di Batu Kawan, Pelancongan Perubatan dan Peluang Pemasaran Produk Agromas.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI