Media Prima Berhad optimis luas rangkaian perniagaan syarikat di Pulau Pinang

Admin

PANTAI JEREJAK – Media Prima Berhad (MPB) optimis untuk memperluaskan rangkaian perniagaan syarikatnya di Pulau Pinang memandangkan banyak peluang sedia untuk diterokai di bahagian utara Semenanjung kini.

Hasrat tersebut disuarakan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini pagi ini.

Kamal berkata, tujuan kunjungan pertama ke atas Kon Yeow adalah sebagai langkah pembuka tirai kepada syarikat berkenaan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan juga agensi-agensi lain di bawahnya.

“Media Prima kini telah membuka lembaran baru yang bersifat lebih sentrik dengan memperkenalkan pasukan editorial yang baru, dan hasilnya banyak perkembangan positif dicapai dalam tempoh sembilan bulan lalu termasuklah kandungan berita yang dipaparkan.

“Diharap kami (MPB) berpeluang untuk mengaturkan sesi temuramah bersama-sama Ketua Menteri di dalam rancangan-rancangan televisyen di Kuala Lumpur kelak…. kerana khabar-khabar luar yang didengari menyatakan bahawa Y.A.B. adalah seorang yang mudah didekati dan mesra.

“Malah, kami amat berbesar hati apabila penganjuran Karnival Jom Heboh tahun lalu mendapat perhatian khas daripada pihak Kerajaan Negeri, dan diharap kerjasama ini akan terus terjalin erat pada tahun-tahun selanjutnya,” ujarnya sambil memberitahu bahawa penganjuran karnival yang merupakan signatur TV3 tersebut memperoleh kira-kira 500,000 purata pengunjung di bahagian utara Semenanjung.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Berita, Operasi Berita dan Editorial, Mustapha Kamil Mohd. Janor, Johan Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima), Shukor Ariffin (Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree Outdoor) dan enam kakitangan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam responsnya percaya bahawa kini terdapat banyak platform media dan saluran komunikasi yang boleh diterokai.

“Kita boleh lihat bagaimana kita boleh bekerjasama demi kebaikan kedua-dua pihak,’’ jelas beliau.