BELIAU diiktiraf sebagai salah seorang daripada lapan usahawan berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya Peserta Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) 2014 baru-baru ini.
Berbekalkan modal tambahan daripada pinjaman mikrokredit PTSR di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), kini, beliau berjaya mengembangkan potensi perniagaannya pada tahap sekarang.
Wan Ibrahim Megat Zainol, 42, mula-mula menolak hasrat untuk diinterbiu atas alasan kejayaannya itu ‘kecil sahaja’ dalam dunia usahawan di negeri ini Tetapi, selepas dipujuk isteri, Norharfizah Razali, 35, akhirnya Wan Ibrahim bersetuju untuk berkongsi pengalaman berjaya dengan wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB.
“Sebenarnya saya datang (dibesarkan) dalam keluarga yang hidup berniaga.
Seingat saya, abang sulung saya sahaja bekerja makan gaji dengan kerajaan, adik-beradik yang lain berniaga seperti saya,” ujarnya pada majlis penyampaian anugerah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon diiringi Timbalan Pengurus Besar PDC, Datuk Abdul Rahim Isahak yang menyempurnakan majlis penyerahan insentif sebanyak RM1,500 beserta sijil penyertaan penerima.
“Insentif ini besar maknanya kepada usahawan kecil seperti saya, mungkin rezeki anak-anak,” ujar Wan Ibrahim yang kini menunggu detik menimbang cahaya mata keempatnya.
PENGALAMAN
Menurut Wan Ibrahim, guru terbaik adalah pengalaman.
Tambahnya, pengalaman juga adalah ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang hingga membuahkan kejayaan.
“Sebenarnya, saya sudah berkecimpung dalam penternakan ikan keli ini sejak 28 tahun lepas.
“10 tahun saya bekerja dengan orang. Dari pengalaman itu, jadi ilmu hinggalah saya sendiri membuka kolam ternakan sejak 18 tahun lepas.
“Apabila saya dengar Kerajaan Negeri ada buat skim pinjaman (mikrokredit) yang lebih baik berbanding syarat-syarat bank, saya cuba memohon dan dapat masuk kali kedua,” ujar beliau.
Kini, ladang penternakan ikan keli Wan Ibrahim adalah dekat pedalaman Kampung Sungai Duri dekat Sungai Bakap di atas tanah berkeluasan enam ekar.
“Satu kolam luasnya lebih kurang satu ekar…(keluasan ladang ternakan ikan keli) semuanya lebih kurang enam ekar.
“Alhamdulillah, kira sebelah sana, (ladang ternakan ikan keli) saya yang paling besar,” katanya sambil memuji Tuhan Yang Maha Pemurah.
NIAGA BERBALOI
Walaupun krisis kenaikan harga barang serta minyak sedang mewarnai landskap ekonomi negara, Wan Ibrahim kini mengakui bahawa pendapatan hasil penternakan ikan keli masih membawa keuntungan yang lumayan.
“Sekarang ini, berniaga pun tidak senang seperti dulu.
“Dulu, kos ternak kurang, tidak seperti sekarang yang kos barang dan (kos) utiliti agak tinggi.
“Nak untung banyak-banyak seperti dahulu dah tak dapat dah, tetapi, untung memang boleh untung, “Cuma, ‘sedikit’ dan tak lah lumayan semacam dulu, disebabkan kos ternak dan urus niaga yang agak tinggi,” jelasnya.
Bayangkan, Wan Ibrahim tiap-tiap bulan memasarkan hasil ternakan ikan kelinya lebih 20 tan.
“Jual, boleh dikatakan di (Utara Semenanjung Malaysia), iaitu di Utara Perak, Kedah dan Pulau Pinang sendiri.
“Paling jauh, ternakan ikan keli ini (dieksport) sampai ke Thailand sekarang ini,” jelas beliau.
Walaupun dianggap antara pembekal terbesar ikan keli ternak di Utara Semenanjung Malaysia ini, Wan Ibrahim menyatakan bahawa beliau masih menjual hasil ternakannya kepada peraih kecil yang bertandang ke rumahnya.
“Yang runcit-runcit pun ada datang ambil sedikit-sedikit, dalam 100 kilogram hingga 200 kilogram tiap-tiap hari,” ujarnya sambil memuji rakan-rakan yang berani menceburi dunia perniagaan.
RISIKO
“Kerja kerajaan pun ada risikonya seperti tidak naik pangkat apabila mutu kerja kita tidak memenuhi kemahuan ketua di pejabat.
“Ini lumrah…risiko paling besar dalam bidang penternakan ikan keli ini adalah apabila ada haiwan lain termasuk dalam kolam hingga membunuh anak-anak ikan yang kita ternak.
“Tetapi, setakat ini Alhamdulillah, risiko ini boleh dikurangkan melalui ilmu dan pengalaman,” katanya sambil memberitahu bahawa apapun perniagaan perlu ada fokus.
Pun begitu, Wan Ibrahim tersenyum apabila diaju soalan mengenai hasratnya untuk menawarkan kursus ternak kepada mereka yang berminat dalam bidang ini.
Katanya, PDC yang lebih banyak pengalaman seperti menguruskan PTSR adalah lebih layak untuk menyediakan kursus kepakaran ala-ala rancangan realiti televisyen, The Apprentice.
“Setakat ini, saya masih tiada rancangan untuk membuat kursus penternakan secara formal di sini, saya ternak dan bekal sahaja. Tetapi, pada masa hadapan, boleh difikirkan.
“Salah satu sebab, mungkin kerana tempat penternakan ikan keli saya sangat ‘dalam’ di pedalaman Kampung Sungai Duri, payah… susah untuk (pelatih) nak masuk pelajar beramai-ramai untuk belajar.
“Tetapi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDC kerana banyak membantu saya dari segi (pinjaman) modal…PDC lebih pakar dalam membina potensi peniaga,” katanya sambil tersenyum.
HARAPAN
Wan Ibrahim berkata, warga Pulau Pinang khususnya Melayu sepatutnya lebih berani menceburi dunia perniagaan, memandangkan Kerajaan Negeri turut menawarkan Tabung Usahawan Tani Muda yang sama fungsinya seperti PTSR.
Tambah beliau, sayur segar merupakan salah satu bidang pertanian yang mempunyai prospek perniagaan yang berpotensi di Utara Semenanjung Malaysia.
“Orang berniaga perlu fikir ke depan, agar dapat segera mencegah risiko di belakang.
“Ke depan ini, kalau boleh terus (dalam bidang penternakan ikan keli ini), kalau boleh saya nak buka kedai
pameran ikan air tawar hidup… macam-macam ikan seperti ikan talapia dan ikan keli.
“Ini, pusat ternak ikan dan bukan pusat memancing…macam show room, macam di kedai ikan, selain, saya sasar nak buat 20 kolam ternak lagi,” jelasnya.
Bagi Wan Ibrahim, kalau Melayu nak berjaya dan kaya, salah satu perkara yang wajar dilakukan adalah terjun dalam dunia perniagaan.
“Kalau orang Melayu kita berniaga semua harap bagus, kena berani dan kena kreatif.
“Boleh untung sedikit, kalau tak boleh buat sepenuh masa, mula secara sambilan dahulu.
“Yang penting cari ilmu dan pengalaman…Melayu pun boleh ‘senang’ dengan jalan berniaga,” serunya.
INFO :
Tel. : 012 – 584 8663.