Pulau Pinang Sebagai Destinasi Perkhidmatan Perniagaan Global GBS
Pulau Pinang terbukti sebagai pusat yang ideal untuk aktiviti GBS dengan pengalaman perindustrian lebih dari 50 tahun khususnya dalam bidang pembuatan dan industri elektrik dan elektronik. Kini, terdapat lebih dari 70 buah syarikat yang beroperasi pusat GBS di Pulau Pinang dengan jumlah pekerja mencecah 17,000 orang.
Bermula dengan GBS@Mayang yang siap pada tahun 2018 dan GBS@Mahsuri pada tahun 2020, PDC sejak awal telah menyedari potensi pertumbuhan besar industry GBS dan telah memulakan rangkaian bangunan GBS di Pulau Pinang. Rangkaian yang dikenali sebagai Nodes GBS mengesahkan dedikasi Pulau Pinang dalam usaha memupuk ekosistem yang dinamik untuk inovasi digital.
Dengan tertubuhnya Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital (Integrated Circuit Design and Digital Park) yang merangkumi GBS By The Sea dan GBS TechSpace yang berkeluasan 350,000 kaki persegi, serta sebuah bangunan tambahan dengan keluasan 500,000 kaki persegi yang dikenali sebagai GBS@Technoplex, ia dijangka akan memperkasakan lagi rangkaian komprehensif ini. Dengan sokongan Kerajaan Negeri, fasiliti-fasiliti ini menawarkan hampir 1 juta kaki persegi ruang pejabat premium yang berfungsi; siap niaga untuk menempatkan pemain generasi baru dalam bidang reka bentuk IC dan industri digital.
Rangkaian GBS Nodes Pulau Pinang
Pembinaan infrastruktur kemudahan GBS di Pulau Pinang adalah kemuncak hasil dari pelaksanaan dan perancangan halatuju sejak bertahun lamanya, dengan penetapan lima projek utama yang strategik dalam mewujudkan landskap yang holistik, siap sedia untuk pelabur dan keperluan masa depan.
- GBS@Mayang
Lokasi: Jalan Mahsuri, Bandar Bayan Baru
Siap dibina: 2018
Dengan keluasan 127,000 kaki persegi, bangunan pejabat empat tingkat ini menempatkan sebanyak 11 syarikat multinasional dengan tenaga kerja sebanyak 1,200 orang yang lebih tertumpu kepada bidang GBS, rekaan litar bersepadu (IC) serta Penyelidikan dan Pembangunan. Penyewa bangunan ini termasuk Jabil, Swarovski, Tech Mahindra, Siemens, StarFive, Bitsilica, Synapse Design dan ramai lagi.
- GBS@Mahsuri
Lokasi: Persiaran Mahsuri, Bandar Bayan Baru
Siap dibina: 2020
Bangunan pejabat dua tingkat ini disewa sepenuhnya oleh empat syarikat multinasional- Cisco Systems (M) Sdn Bhd, Clarivate (M) Sdn Bhd, Aerticket Global Services Sdn Bhd dan Teleperformance Malaysia Sdn Bhd dengan jumlah pekerja seramai 1,000 orang. Bangunan GBS@Mahsuri dengan keluasan kasar 102,452 kaki persegi ini dibina di atas tanah seluas 3.1 ekar dan mampu menyediakan ruang sewa seluas 80,116 kaki persegi untuk menampung skop operasi GBS, Data Sains dan Rangkaian.
- GBS By The Sea
Lokasi: Medan Technoplex , Kawasan Perindustrian Bayan Lepas
Dijangka siap dibina: Suku keempat 2024
Komplek mewah sembilan tingkat GBS By The Sea bernilai RM200 juta ini menyediakan 294,000 kaki persegi jumlah ruang pejabat dan ia bakal mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan untuk warga tempatan dengan AMD Global Services sebagai penyewa utama.
4. GBS TechSpace
Lokasi: Medan Technoplex, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas
Dijangka siap dibina: Suku ketiga2024
Rekaan Litar Bersepadu, Digital GBS, Penyelidikan dan Pembangunan serta Kejuruteraan adalah antara industri yang sesuai untuk menyewa bangunan GBS TechSpace setinggi 3 tingkat dengan keluasan ruang seluas 60,000 kaki persegi. Ia adalah binaan tambahan kepada fasa pertama Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital.
- GBS@Technoplex
Lokasi: Medan Technoplex, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas
Dijangka siap dibina: 2027
Fasa Kedua Taman Digital dan Rekaan Litar Bersepadu di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas bakal menempatkan sebuah pejabat canggih setinggi 9 tingkat yang bernilai RM308 juta dengan tambahan ruang boleh disewa sebanyak 500,000 kaki persegi yang mensasarkan industri berimpak tinggi seperti Rekaan Litar Bersepadu, Penyelidikan dan Pembangunan, GBS, pelaburan teknologi digital dan ekosistem ekonomi digital yang menyeluruh.
Memanfaatkan Potensi Hari Ini Untuk Memperkasakan Kemungkinan Masa Hadapan
Pulau Pinang terus menetapkan aras baru dalam pertumbuhan pesat di sektor GBS dengan memanfaatkan keupayaan pembuatan dan juga kepelbagaian bakat yang pakar dalam bidang teknikal dan kemahiran linguistik.
(Artikel oleh : PDC)