Membuang sampah haram,  OKS dihukum denda oleh mahkamah

Admin

PADANG KOTA – Tiga kesalahan membuang sampah haram yang dikesan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini telah menerima padah apabila seorang individu telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah, 25 Februari lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam satu sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung hari ini.

Menurut Tung Seang, Orang Kena Saman (OKS) berkenaan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi kesalahan pembuangan sampah haram di Jalan Tun Dr. Lim Chong Eu dan masing-masingnya RM15,000 (Batu Maung dan Permatang Pasir).

“Kita (MBPP) telah pun menangkap pesalah terbabit, termasuk menahan lori yang digunakan.

“OKS telah dijatuhkan hukuman dan pihak mahkamah turut memerintahkan agar lori berkaitan dirujuk untuk tindakan pelupusan.

“Justeru, Majlis menyeru kepada pihak yang terlibat dengan penghasilan sampah agar lebih bertanggungjawab dan melupuskan sampah mereka di tempat yang dibenarkan sahaja, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika didapati bersalah,” tegasnya.

OKS berkenaan didenda di bawah Seksyen 70A, Akta Parit dan Bangunan 1974, sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjara dua bulan akan dikenakan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD