Inisiatif Pembangunan Keusahawanan
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah merencanakan rangka kerja berstruktur untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana demi memupuk ekosistem keusahawanan yang dinamik di Pulau Pinang.
Projek Pembangunan
Batu Kawan SME Village: Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Dibangunkan secara berperingkat, projek ini menempatkan kilang teres dan berkembar termasuk juga gudang di atas tanah seluas 60.7 hektar (150 ekar) di Kawasan Perindustrian Batu Kawan.
Antaranya 83 ekar tanah perindustrian telah diperuntukan untuk syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri peralatan & jentera, peranti perubatan, kejuruteraan, elektronik dan elektrik.
Pusat PKS Batu Kawan (Batu Kawan SME Centre): Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Pusat PKS Batu Kawan yang seluas 1.6764 ekar dan mempunyai luas lantai bangunan beranggaran 27,231.54 kaki persegi telah disewa kepada Walta Engineering Sdn Bhd sebagai Walta Centre of Excellence (WCOE).
Kompleks Rasa Tropika Bukit Tengah: Untuk Usahawan
Komplek dengan 24 unit gerai ini terletak di atas 1.72 ekar tanah dan ditawarkan kepada pengusaha makanan dan minuman dengan kadar sewa yang rendah sebagai premis perniagaan.
Latihan Kemahiran dan Kelengkapan
Selain pembangunan kemudahan infrastruktur, pelbagai program dan kursus juga dianjurkan secara aktif oleh PDC dengan tujuan untuk memupuk generasi usahawan berkelas dunia yang berdaya saing.
Kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah membawa kepada penganjuran kursus dengan topik yang memberangsangkan seperti Kesedaran dan Panduan dalam keusahawanan Halal, perakaunan, percukaian dan pembiayaan perniagaan.
Pengurusan Pinjaman Kredit Mikro
Skim Pinjaman Harapan (SPH)
Memahami keadaan semasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bekerjasama dengan PDC dalam melaksanakan sebuah projek yang dahulunya dikenali sebagai PTSR (Projek Titian Saksama Rakyat). Dijenamakan semula sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH), ia menyediakan kemudahan pembiayaan yang mudah dan cepat kepada usahawan mikro untuk memula dan memperluaskan perniagaan mereka.
Sehingga Julai 2023, sebanyak 4,061 usahawan telah menggunakan kemudahan ini dengan jumlah keseluruhan dana pinjaman sebanyak RM26.51 juta. Jumlah pinjaman bermula dari RM5,000 hingga RM50,000. Antara mekanisma skim pinjaman ini adalah tempoh pembayaran balik antara 50 hingga 200 minggu atau 12 hingga 48 bulan.
Rohanna binti Mohd Saat merupakan salah seorang usahawan yang bermanfaat dari skim ini dan berjaya memperluaskan perniagaannya dari gerai tepi jalan kepada sebuah kedai runcit yang serba lengkap di Kubang Semang.
Tabung Usahawan Tani (TUT)
Dana yang ditubuhkan pada 2015 ini khasnya memberi pinjaman perniagaan kepada usahawan mikro dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan. Pinjaman inj disediakan dalam dua tempoh pinjaman sepanjang 24 bulan yang menawarkan sebanyak RM5,000 atau RM6,000 pada 24 bulan pertama dan RM10,000 pada 24 bulan kedua.
Projek TUT ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak PDC di mana PDC bertindak sebagai badan pentadbiran kepada Kerajaan Negeri untuk pengeluaran dan pemungutan pinjaman.
Rancangan Masa Depan: Merencanakan pentas PKS Berkelas Dunia
Dengan memanfaatkan industri eksport halal Malaysia yang berkembang pesat, dua projek oleh PDC, iaitu Dataran Usahawan di Bandar Cassia dijangka siap dibina menjelang suku pertama tahun 2027 yang menyediakan 51 unit kedai lot berukuran 400 kaki persegi setiap satu di atas kawasan seluas 4.2 ekar.
Pembangunan akan datang yang dinanti-nantikan adalah pembangunan unit-unit PKS Industri Halal di PSPN (Penang Science Park North), yang akan dibangunkan di atas 7.75 ekar tanah milik PDC.
Kedua-dua projek ini akan menyediakan satu platform kepada usahawan Pulau Pinang untuk mempromosikan produk keluaran mereka kepada penduduk setempat serta kepada pasaran antarabangsa.