Menara KOMTAR menang tempat ketiga Anugerah Tenaga ASEAN 2019

Admin

GEORGE TOWN – Kejayaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus (PDCSU) menjimatkan bil elektrik sebanyak RM2 juta dari tahun 2016 hingga 2018 membolehkan menara Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) memenangai tempat ketiga bagi Anugerah Tenaga ASEAN 2019.

Kejayaan tersebut menjadikan menara ikon Pulau Pinang itu memperolehi anugerah antarabangsanya yang pertama.

Ketua Pegawai Elsekutif (CEO) PDCSU, Dato’ Ir. Ang Choo Hong memberitahu bahawa anugerah anjuran ASEAN Center of Energy (ACE) tersebut disampaikan pada Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN 2019 yang diadakan pada 4 September lalu di Bangkok.

“Pelbagai langkah penjimatan tenaga diperkenalkan secara berperingkat sejak tahun 2016… beberapa sesi perbincangan juga diadakan bersama kakitangan-kakitangan sebagai langkah awal dan memperolehi hasil yang menakjubkan.

“Menjelang tahun 2018, kami (PDCSU) mencatatkan penjimatan sebanyak RM2 juta atau 20 peratus berbanding 2016, dari bil elektrik berjumlah RM11 juta kepada RM9 juta,” ujar Choo Hong ketika berucap pada majlis makan malam meraikan kejayaan tersebut bersama-sama kakitangan PDCSU, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PDC.

Difahamkan, antara langkah penjimatan dilaksanakan PDCSU termasuklah menutup saluran masuk punca haba, menukar unit pengendalian udara (AHU), meletakkan sensor pada tangga elektrik dan menukar tarif daripada B ke C1.

Dalam pada itu, Lai Heng dalam ucapannya menyifatkan penurunan jumlah bil elektrik sebanyak RM2 juta bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran perlu dihadapi pihak PDCSU.

“Seperti kita ketahui, juru runding dilantik pun tidak sanggup untuk lakukan sehingga memaksa PDCSU melakukannya sendiri.

“Dengan kejayaan ini juga saya berharap kegemilangan KOMTAR dapat dikembalikan seperti era 80-an dan 90-an.

“Awal tahun hadapan UTC (Pusat Transformasi Bandar) akan diwujudkan di sini, maka pertambahan pengunjug akan dicatatkan seterusnya dapat mengembalikan kegemilangan KOMTAR serta membuka peluang pekerjaan baharu,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Sebagai rekod, pada 1 Ogos lalu, KOMTAR juga turut memenangi Anugerah Tenaga Nasional Malaysia bagi kategori bangunan besar.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI