Mendapan flat peroleh perhatian segera

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAGAN DALAM – Keretakan simen dan keadaan lantai tidak sama di Blok 4, Flat Taman Bagan ekoran kejadian mendapan yang berlaku tahun lalu kini selesai ekoran suntikan khas berjumlah RM60,000 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kejadian mendapan yang berlaku telah memperoleh perhatian dan maklum balas yang cepat daripada Kerajaan Negeri untuk membaiki keadaan flat berkenaan.

“Sejak perubahan Kerajaan Negeri pada tahun 2008, kita (Kerajaan Negeri) berbelanja penuh cermat dengan tidak membazirkan wang rakyat.

“Ini kerana, kita (Kerajaan Negeri) percaya pemimpin yang tidak makan wang, maka wang itu akan kembali kepada rakyat seperti projek ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Flat Taman Bagan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, Jalan Siram yang menjadi nadi penghubung utama Taman Bagan turut akan dilebarkan kepada empat lorong bagi melancarkan aliran trafik sedia ada.

“Bila jalan dinaiktaraf, maka ianya akan memudahkan pergerakkan penduduk lalu membawa ‘tuah’ kepada orang-orang di sini,” ujarnya.