PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mempertikai mutu Bajet 2015 yang dikatakan langsung tidak menyebut mengenai status tanggungan hutang berskala besar lebih RM36 bilion oleh syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disifatkan membebankan kewangan negara.
Menurut beliau, hutang berskala besar itu seakan tidak mampu lagi dilangsaikan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang didakwa masih mengamalkan pembaziran pengurusan kewangan negara.
Justeru, tambah Guan Eng, beban kewangan itu akhirnya seakan telahpun dipindahkan kepada rakyat melalui kenaikkan harga runcit minyak baru-baru ini serta penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) mulai tahun hadapan.
“Kalau 1MDB hampir RM38 bilion itu pentadbiran Najib boleh buat hutang, (bekas perdana menteri) Tun Dr. Mahathir (Mohammad) pun tak mampu bayar.
“Kamu ingat Datuk Seri Najib akan bayarkah, kamu ingat Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) akan bayarkah…yang pasti (Datin Seri) Rosmah Mansor tak akan bayar.
“Siapa bayar…anda, saya dan semua kita rakyat Malaysia akan ‘bayar’ hutang 1MDB.
“Itulah sebabnya kita (Pakatan Rakyat) tanya, mengapa dalam Bajet 2015 tak sebut langsung 1MDB punya cerita,” tegasnya dalam ucapannya pada Majlis Jamuan Makan Malam Analisis Bajet 2015 dekat Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini baru-baru ini.
Hutang berskala besar RM36 bilion 1MDB mula menjadi perhatian apabila syarikat pelaburan negara berkenaan didedah terlibat dalam beberapa projek kontroversi serta dana simpanan di sebuah kepulauan Caribbean baru-baru ini.
Sumber berita Singapore Business Times dipetik melaporkan, penjadualan semula hutang menjadi tinggi pada kadar 2.5 peratus ke atas kos dana tahunan, selain, yuran pendahuluan berjumlah antara RM20 hingga RM30 juta.
Laporan sama berkata, ancaman sebenar keingkaran berwajib akan “mengganggu kumpulan perbankan utama Malaysia dan juga pengawal selia perbankan negara, Bank Negara.”