Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Kewibawaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus dipersoal gara-gara tidak menyiasat beberapa blogger mesra UMNO yang didakwa menfitnah keluarga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.
Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Zairil Khir Johari berkata, tiada siasatan ke atas blogger, PapaGomo, Umno-Online dan Pisau.net seakan mencerminkan bahawa SKMM cuba untuk melindungi blogger mesra UMNO berkenaan.
“Adakah SKMM sedang ‘cuci tangan’, tidak mahu siasat aduan yang saya buat sebelum ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai surat maklum balas SKMM bertarikh 20 Februari lepas yang diterima, Zairil berkata, suruhanjaya itu seakan cuba berdolak-dalih demi melindungi tiga blogger mesra UMNO tersebut.
“Surat SKMM yang didedah itu antara lain menyebut, “Untuk makluman Tuan, siasatan kes ini telah dilakukan oleh PDRM dan dibantu oleh SKMM.
Pihak kami tidak akan menjalankan siasatan memandangkan kes ini adalah sama,’’ katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Buletin Mutiara mendapati, surat SKMM itu dikeluarkan atas nama Pemangku
Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Keselamatan Digital SKMM, Eneng Faridah Iskandar.
Maka, Zairil mempersoal jawapan maklum balas surat SKMM itu.
“Laporan polis disiasat oleh polis. Laporan SKMM disiasat oleh SKMM di bawah (Seksyen 211) Akta Komunikasi dan Multimedia (1998).
“Adakah kes ini sedang disiasat (oleh) SKMM? Jika masih disiasat, siasatan atas akta apa?” soal beliau.
Pada 10 Ogos tahun lepas, satu laporan polis telah dibuat mengenai sesawang UMNOOnline yang melemparkan fitnah palsu terhadap anak lelaki Guan Eng. Dalam pada itu, aduan turut dilaporkan kepada SKMM selepas PapaGomo pada 7 Februari lepas menyiarkan artikel fitnah berjudul “Lim Guan Eng Nenen Memang SIAL – Ibrahim Ali”.
Justeru, Zairil dan Setiausaha Politik kepada Guan Eng, Ng Wei Aik mempersoal kewibawaan SKMM dalam memerangi jenayah siber serta budaya pornografi yang digalakkan oleh blogger-blogger mesra UMNO berkenaan.