SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menzahirkan rasa terharu apabila mendapat tahu ada beratus rumah kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sendiri dilanda banjir, tetapi mereka masing-masing teguh memberi komitmen penuh dalam menjayakan beberapa program Hari Sukarelawan Pulau Pinang Bangkit baru-baru ini.
“Ada pekerja-pekerja am, rumah mereka pun turut dilanda banjir, tapi sungguhpun begitu, mereka tidak terus bersihkan rumah
mereka dahulu, tapi utamakan kerja-kerja sukarelawan pulihkan keadaan Seberang Perai.
“Inilah semangat, amanah dan tanggungjawab yang kita mahu terus galas sebagai keluarga besar MPSP,” ujarnya dalam nada terharu pada Majlis Jamuan Penghargaan Kakitangan MPSP Bertugas Pasca Banjir dekat lobi Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini 23 Disember lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Gabenor Daerah Lion Club International District 308 B2 (Lion Club), Douglas Oh Aik Kim.
Menurut Rozali, majlis keraian itu adalah melibatkan 1,265 sukarelawan terdiri oleh barisan ahli majlis, kakitangan beberapa jabatan dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan serta pekerja am dari Depoh Ampang Jajar, Depoh Padang Lalang dan perwakilan-perwakilan badan bukan kerajaan (NGO) Lion Club.
Tambah beliau, MPSP juga turut meraikan 1,904 sukarelawan dari Depoh Bertam, Depoh Padang Chempedak, Depoh Bagan Dalam, Depoh Inderawasih, Depoh Berapit, Depoh Jawi dan Depoh Asas Murni dalam majlis jamuan penghargaan sama pada 15, 18 dan 22
Disember sebelum ini.
“Saya ingat di semua kawasan, sebanyak lima kali kerja-kerja mengutip sisa pasca banjir.
“Sebanyak 15,942 tan sisa telah dikutip dan dilupuskan di Tapak Pelupusan Ampang Jajar,” kata Rozali dalam sidang media selepas itu.
Beliau memberitahu, seramai 626 kakitangan MPSP pada majlis tersebut direkodkan menerima bantuan sumbangan barangan daripada Lion Club, kerana kediaman masing-masing turut dilanda bencana banjir sejak 4 November lalu.