Mengimbau nostalgia di Permatang Bendahari

Admin
SEBAHAGIAN tinggalan warisan ketara berupa binaan asal jeti bot tambang di Permatang Bendahari, Penaga | Foto: Mohamad Amir Irsyad Omar

SEBUAH jeti lama berusia lebih 200 tahun dekat Permatang Bendahari, Seberang Perai Utara dikatakan sebagai salah satu simbol bahawa kawasan hilir Sungai Muda yang menjadi sempadan antara negeri Pulau Pinang dan Kedah suatu masa dahulu pernah menjadi pekan penting yang menjalankan aktiviti ekonomi.

Daripada mana datangnya nama Permatang Bendahari juga begitu menarik untuk dikisahkan.

Menurut sumber ThinkCity, asal nama Permatang Bendahari mengambil nama seorang tukang masak Raja bernama “bendari”, yang berulang alik dari Permatang Bendahari ke Kota Kuala Muda.

Atas sebutan orang-orang kampung di sini, sumber sama melaporkan, akhirnya “bendari” bertukar kepada “bendahari”.

GAMBAR lama jeti asal dan struktur binaan baharu di Permatang Bendahari di sini, dirakamkan pada 17 November 2009.

Menurut naratif orang tempatan, sebelum adanya Jambatan Merdeka serta beberapa batang jambatan lain yang merentasi Sungai Muda, perahu atau lebih tepat perahu tambang merupakan antara pengangkutan utama di sekitar kawasan hilir yang membentuk teluk sebelum bertemu laut.

Malah, terdapat sumber tempatan menyebut Permatang Bendahari pernah menjadi pelabuhan penting dan ‘pelabuhan berkembar’ bagi Kota Kuala Muda yang merupakan ibu negeri Kedah Darul Amal pada tahun sekitar tahun 1821 – 1842.

Semasa itu, sumber tempatan sama memberitahu Kedah di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 11 [1804 – 1843].

MOHD. Zamberi Saad

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bakar Tua, MOHD. ZAMBERI SAAD, 44, jeti asal di Permatang Bendahari itu dibina pada tahun 1821, dan masih digunakan sehingga 2006.

“Tak jauh dari jeti asal Permatang Bendahari ini bukan sahaja terdapat sebuah balai polis lama, bahkan deretan rumah kedai serta tapak masjid asal Permatang Bendahari.

“Sehingga hari ini, masih terdapat kedai emas Giap Leong dan kedai pajak yang diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi lain.

“Pengalaman menaiki perahu dari Pasar Bisik dekat Penaga, kemudian singgah naik di Permatang Bendahari, dengan melihat ada bangunan balai polis, deretan kedai dan tapak masjid asal, seakan-akan melengkapkan struktur perbandaran yang begitu pesat di kawasan sekitar pekan lama dan jeti lama di Permatang Bendahari pada suatu masa dahulu.

“Tak mungkin di pinggir sungai ini boleh ada lot kedai emas dan kedai pajak dan balai polis, kalau di sini suatu masa dahulu tak begitu pesat daripada segi aktiviti ekonomi,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurufoto, MUHAMAD AMIR ISRSYAD OMAR.

BALAI Polis terletak berhampiran jeti asal Permatang Bendahari di sini.
PERNIAGAAN emas dan kedai pajak yang diwarisi secara turun-temurun hingga kini masih beroperasi, dalam struktur lot kemersial baharu.
ZAHAR Zainul merakamkan gambar kenang-kenangan di tapak asal masjid berhampiran jeti bot penambang Permatang Bendahari di sini.

Pegawai Penerangan bagi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, ZAHAR ZAINUL, yang mengetuai jerayawara menerusi jalan sungai turut mengiyakan naratif orang lama setempat sebagaimana dikongsikan oleh Mohd. Zamberi.

“Mana ada orang nak buka kedai emas di pinggir Sungai Muda ini melainkan di sini pernah menjadi pekan yang pesat, kalau nisbah sekarang mungkin seperti Pekan Kepala Batas atau Bertam yang kita boleh lihat ada bank-bank, pusat kewangan, pasar raya, kedai emas dan sebagainya.

“Mengikut sahabat saya, Saudara Zamberi, tapak asal masjid dekat Permatang Bendahari dikatakan wujud sebelum tahun 1909 lagi… sumber lain (memberitahu) masjid kayu (asal)telah dibawa ke Muzium Etnologi Dunia Melayu (MEDM) dekat Bangi, Selangor.

Jelasnya lagi, sepatutnya struktur jeti lama Permatang Bendahari yang mempunyai nilai warisan ketara, wajar dipulihara dan pelihara lagi sebagaimana ‘warisan tak ketara’ yang terkenal iaitu Pasar Bisik dekat Penaga.

“Pasar Bisik, di Kuala Muda dalam sempadan negeri Pulau Pinang pun ada, di Kuala Muda dalam sempadan negeri Kedah pun ada, Sungai Muda ini merupakan sempadan antara dua negeri, maka tidak boleh mana-mana negeri mendakwa sumber air semula jadi sungai mentah ini milik mutlak negeri mereka semata-mata.

“Kalau ikut cerita orang tua-tua, di sempadan negeri Kedah pun patut ada binaan asal jeti lama seperti di Permatang Bendahari.

“Suatu masa dahulu, Kota Kuala Muda dikatakan sebagai pekan penting di sempadan negeri Kedah, sementara Permatang Bendahari (patut disebut Kota) juga merupakan pusat kegiatan ekonomi penting di bahagian sempadan negeri ini,” ceritanya yang turut berkongsi pengalaman sebagai ‘orang lama’.

DARI Pasar Bisik dekat Kuala Muda di dalam sempadan negeri Pulau Pinang, memang dapat dilihat Pasar Bisik yang terletak di Kuala Muda dekat sempadan negeri Kedah Darul Aman.
BOT kami menghampiri binaan randop asal di sempadan negeri Pulau Pinang.
‘Tandop’ di sempadan negeri Kedah dibina kemudian, hingga kini diselia di bawah Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PPLSM)

Dari jeti lama Permatang Bendahari, kami menaiki semula bot penambang menuju ke hilir Sungai Muda yang menjadi sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Dari Permatang Bendahari, bot penambang kami cuba menghampiri pintu air atau ‘tandop’ dekat Rantau Panjang.

“Tandop asal yang dibina adalah di dalam sempadan negeri Pulau Pinang, sebelum dibina ‘tandop’ (dekat Rantau Panjang) di dalam sempadan negeri Kedah.

“Tujuan ‘tandop’ ini dibina adalah untuk mengawal aliran air ke kawasan-kawasan pertanian di kedua-dua negeri, daripada terus mengalir ke laut.

“Begitu juga Rumah Pam Lahar Tiang yang dibina dalam sempadan negeri Pulau Pinang adalah untuk abstrak air mentah dalam sempadan negeri ini untuk memastikan bekalan air minuman mencukupi.

“Rumah Pam Lahar Tiang adalah di kedudukan paling hilir berbanding rumah-rumah pam dan empangan lain milik Kerajaan Negeri Kedah, yang mana kalau kita (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP) tak abstrak air mentah itu, ia akan mengalir terus ke laut secara membazir,” jelas Zahar lagi sambil menganggap Pulau Pinang dan Kedah masing-masing mempunyai hak reparian atas sumber air mentah Lembangan Sungai Muda tersebut.

KINI aktiviti nelayan pantai sahaja dapat dilihat di sepanjang hilir lembangan Sungai Muda di sini, tiada lagi pekerjaan penambang yang membawa penumpang dari Permatang Bendahari, Pulau Pinang ke Kota Kuala Muda dekat Kedah.

Di samping itu, Zahar turut menjelaskan bahawa potensi Permatang Bendahari dan Pasar Bisik sebagai destinasi untuk aktiviti kayuhan santai selain aktiviti mencerap burung hijrah.

“Umum mengetahui sejak jambatan konkrit yang menghubungkan Permatang Bendahari dan Kota Kuala Muda dibina sekitar tahun 2003, perkhidmatan perahu tambang kian suram.

“Pelbagai pihak cuba mempromosikan aktiviti kayuhan merentasi desa dan kawasan sawah padi dari Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dekat Pinang Tunggal sampai ke Rumah Pam PBAPP dekat Lahar Tiang (Penaga).

“Kayuhan merentas desa perlu juga diperluaskan sampai ke Penaga yang mana para pengunjung boleh ada peluang menaiki bot tambang dengan membawa sekali basikal mereka, dari Pasar Bisik ke Permatang Bendahari, kerana di sekitar kawasan ini juga ada pelbagai sumber warisan ketara dan warisan tak ketara untuk dinikmati oleh pengunjung domestik dan pelancong asing selepas berakhirnya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kelak.

“Sebenarnya ada banyak lagi nostalgia, kalau kita selami kisah para nelayan dan penduduk setempat di Permatang Bendahari ini,” jelasnya lagi.