Menjelang Aidilfitri, ‘Wira Oren’ angkut sampah sehingga jam 3 pagi dipuji

Admin

PERAI – ‘Wira Oren’ Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang terlibat dalam pekerjaan kotor, sukar dan bahaya (3D) melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga jam 3 pagi tadi (1 Syawal).

SR. Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud merakamkan penghargaan kepada kesemua 494 kakitangan majlis yang masih bertugas sejak semalam demi memastikan penduduk Seberang Perai di ketiga-tiga daerah dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana lebih nyaman, bersih, hijau serta selamat.

Mereka, menurut Rozali, adalah barisan hadapan MBSP yang terdiri oleh 434 pekerja perkhidmatan perbandaran, Jabatan Kejuruteraan (36), Direktorat Penguatkuasaan (10) dan Jabatan Pengurusan Krisis (14).

“Semalam (23 Mei 2020), program MBSP memungut sampah dari rumah ke rumah, dari jam 7 pagi, sesetengah kakitangan mula bekerja dari jam 5 pagi, kita jangka kerja-kerja pembersihan boleh habis pada jam 10 malam.

“Tetapi, kita (MBSP) faham ada penduduk Seberang Perai terpaksa membuat kerja pembersihan rumah masing-masing pada saat akhir, selepas rondaan kakitangan di lapangan, terpaksa kita (MBSP) sambung kerja-kerja pembersihan sehingga jam 3 pagi, untuk memastikan Seberang Perai yang berstatus bandar raya nampak bersih di semua tempat.

“Kalau kita (Jabatan Perkhidmatan Perbandaran) berhenti kerja kutip sampah pada jam 10 malam tadi, pada pagi ini (1 Syawal), mungkin kita nampak tong komunal dan RORO di tepi jalan akan dipenuhi sampah, seolah-olah Seberang Perai ini tidak bersih.

“Oleh itu, saya mengarahkan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran supaya menerusikan operasi pembersihan dan kutip sampah walaupun kita (MBSP) terpaksa (tuntutan upah) kerja lebih masa kepada kakitangan kita,” jelasnya pada Majlis Menyantuni Petugas Barisan Hadapan MBSP dekat Depoh Taman Inderawasih di sini pada 24 Mei 2020.

Menurut Rozali, jumlah sisa domestik yang dikutip bagi tempoh Musim Perayaan Aidilfitri pada tahun 2017 adalah sebanyak 5054.33 tan, manakala, 5378.61 tan (2018) dan 5559.28 tan (2019).

“Setiap tahun, penjanaan sisa semasa musim perayaan memperlihatkan (angka) peningkatan sebanyak 5 peratus.

“Apabila musim perayaan tahun ini tiada lagi aktiviti ziarah-menziarah kerana kita berada dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), saya harap jumlah sisa sampah domestik yang dikutip akan berkurang,” ujarnya sambil menyeru semua penduduk supaya mengurangkan penjanaan sampah serta mengamalkan pengasingan sisa di punca di rumah masing-masing.

JAGDEEP Singh Deo (kiri) diiringi Sr. Rozali Mohamud (tiga dari kiri) dan Jason Raj (dua dari kiri) menyerahkan pek kuih kepada salah seorang ‘Wira Oren’ di Depoh MBSP Taman Inderawasih, Perai di sini pada pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali merakamkan penghargaan kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo kerana menyumbang RM10,000 untuk menyediakan pek sumbangan khas kuih raya kepada kesemua anggota barisan hadapan MBSP yang bertugas pada musim perayaan.

JAGDEEP Singh Deo.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Datuk Keramat serta Rozali, dengan diiringi Ahli Majlis MBSP, Jason Raj, mengadakan siaran langsung Facebook bagi acara meraikan barisan hadapan MBSP sempena Aidilfitri.

Ketika berucap, Jagdeep berkali-kali mengulangi mesej peri penting anggota barisan hadapan yang bertugas dalam musim perayaan supaya terus mengamalkan jarak sosial 1 meter (meter), senantiasa pakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan dengan sabun serta sanitasi tangan.

“Anda, semua barisan hadapan MBSP adalah sangat penting bagi saya, mesti jaga kesihatan diri, tanpa anda, kita (sebagai) rakyat Pulau Pinang terutama yang tinggal di bahagian Seberang Perai tidak akan menikmati suasana yang begitu bersih pada pagi 1 Syawal ini,” ulasnya ketika menyampaikan ucapan perutusan ringkas sempena Aidilfitri.

Beliau turut memuji pentadbiran Rozali kerana meneruskan kerja-kerja pembersihan tambahan secara syif, pada hari ini, mulai jam 12 tengah hari hingga 11 malam nanti, demi memastikan suasana bersih bahagian Seberang Perai dapat dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut merakamkan pujian terhadap tahap kesiapsiagaan Jabatan Pengurusan Krisis MBSP dalam mendepani kemungkinan risiko bencana banjir, pada musim perayaan kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN