Menteri beri jaminan stok beras putih tempatan kembali stabil dalam sebulan

Admin
MOHAMAD Sabu dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Peladang Outlet (PO) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena sempena penganjuran Program Jualan Agro Madani di Bertam di sini pada 20 September 2023.

BERTAM – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan beras putih tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.

Beliau berkata kementeriannya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ketika ini akan terus melakukan langkah ‘campur tangan’ dalam pasaran lokal sedia ada sementara menunggu bekalan beras tempatan kembali stabil.

“Di kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) sekarang ini padi sedang dituai – 20 peratus telah dituai – dan akan dikilangkan.

“InsyaAllah (bekalan) beras (tempatan) kita ini akan kembali stabil dalam sebulan lagi.

“Tetapi, dalam tempoh sebelum sampai sebulan itu, kita akan cuba melakukan ‘campur tangan’ yang mana berlaku kekurangan (bekalan beras tempat), kita (kementerian) tampung melalui FAMA dan LPP,” jelasnya seusai merasmikan pembukaan Peladang Outlet (PO) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini pada 20 September.

Menjawab soalan pemberita, Mohamad berkata selain PO di sini, 39 premis PO lain turut dibuka di seluruh negara bagi menjual beras putih tempatan secara langsung kepada pengguna.

Tidak cukup sekadar itu sahaja, FAMA bermula pada Jumaat depan turut akan mengagihkan stok beras putih tempatan ke 34 pusat operasi pemasaran lain di seluruh negara serta di lokaliti berdekatan yang mengalami gangguan bekalan komoditi tersebut untuk dijual secara langsung kepada rakyat.

“Kita lakukan perkara ini seperti kita lakukan ‘campur tangan’ dalam menstabilkan (bekalan dan harga) ayam dan telur,” katanya sambil memberitahu bahawa kementeriannya akan memperluas langkah penguatkuasaan berwajib bagi memastikan bekalan beras putih tempatan cukup dalam pasaran domestik.

Buletin Mutiara difahamkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui LPP menyelia 40 premis PO bagi menjayakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT), yang mana PO terbabit berperanan mengedar BPT kepada kumpulan sasar terutama mereka yang jauh dari kemudahan pasar raya.

Dalam sesi libat urus berwajib yang diadakan peringkat kementerian, Mohamad berkata para pemain industri beras, pengilang, pemborong dan peruncit bersetuju untuk memberi komitmen bagi merealisasikan PKBPT.

Melalui PKBPT, Mohamad berkata para pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan PBT – 23,000 matrik tan sebulan – untuk memenuhi pasaran domestik bagi tempoh setahun.

“Seperti yang telah saya sebutkan di Parlimen: jangan ada pembelian panik iaitu kita bimbang dalam dua bulan lagi beras tak ada (maka) kita beli secara begitu banyak.

“Beli pada kadar biasa kerana kenaikan harga beras yang berlaku ini (disebabkan) kenaikan harga beras import secara mendadak; berlaku kenaikan harga (beras import) ini di seluruh dunia.

“(Sementara,) harga beras tempatan adalah di bawah harga kawalan, ianya setakat ini (peringkat) pihak pihak pemborong (dan) pengilang semua memberikan kerjasama untuk mencukupkan beras (tempatan) itu dalam pasaran,” ujarnya Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut meluangkan masa melawat 25 gerai Jualan Agro Madani yang menawarkan pelbagai komoditi asasi rakyat seperti ayam pedaging, daging lembu segar, jagung dan sebagainya pada potongan harga sehingga 30 peratus berbanding nilai pasaran sebenar.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim; Pengerusi LPP, Datuk Wira Mahfuz Omar dan Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR