Menteri beri jaminan tiada aktiviti pencerobohan dan pembalakan di Ulu Muda

Admin

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti pencerobohan dan pembalakan dibenarkan di Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air penting bagi Kedah dan Pulau Pinang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa Menteri Besar Kedah juga telah memberi jaminan yang sama baru-baru ini iaitu kawasan tadahan air itu tidak akan diterokai.

“Isu yang berlaku adalah mana-mana kawasan pembalakan yang telah diluluskan sebelumnya seluas 25,000 hektar, Kerajaan Negeri (Kedah) komited untuk menggantikan kawasan itu dengan kawasan baru.

“Ini juga adalah penegasan yang telah dibuat oleh YAB Menteri Besar dalam Dewan Undangan Negeri Kedah.

“Malah, pada Mei 2020, Kerajaan Negeri Kedah telah mewartakan 25,000 hektar kawasan ini sebagai kawasan bebas pembalakan,” katanya dekat Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tajong yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berhubung tindakan dan perancangan kementerian bagi memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda, termasuk mengelakkan pencemaran di Sungai Muda.

Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya juga telah melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) di Lembangan Sungai Muda pada tahun 2018 bagi memelihara kawasan tadahan air berkenaan.

“Pelan IRBM ini perlu dijadikan asas oleh kerajaan negeri bagi pembangunan guna tanah di lembangan Sungai Muda untuk mengelakkan berlakunya insiden pencemaran dan memastikan sumber air bersih mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan Pulau Pinang untuk menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu berkorban dengan memastikan kawasan tadahan air tidak meneroka kawasan Ulu Muda.

“Di atas pengorbanan besar Kerajaan Negeri Kedah, alangkah baiknya sekiranya negeri Pulau Pinang dapat mengadakan perbincangan bagi menyumbang dalam bentuk kewangan kepada negeri Kedah atas pengorbanannya memastikan kawasan tadahan air tidak dicerobohi, dipeliharan serta memberi manfaat kepada kedua-dua negeri,” jelasnya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik jaminan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda seperti yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim.

Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang berpegang kepada jaminan tersebut demi kepentingan bekalan sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF