BATU MAUNG – Seramai 10 ahli Koperasi Tunas Muda, Sungai Ara menerima unit kunci ruma masing-masing di Taman Prestij Balik Pulau semalam.
Penyerahan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ewon ketika berucap mahu Koperasi Tunas Muda terus kekal antara badan koperasi hartanah cemerlang di negara ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada Koperasi Tunas Muda kerana saban tahun kita tahu, koperasi ini menang anugerah dan muncul antara koperasi terbaik di Malaysia.
“Di samping itu saya berharap ini mampu menjadi tauladan kepada koperasi-koperasi lain untuk terus cemerlang dan terima kasih juga kerana sanggup turun hingga Sabah bagi mendidik koperasi di sana dan diharapkan selepas ini Koperasi Tunas Muda boleh dapat anugerah antarabangsa pula,” ujar Ewon ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Ahli Koperasi Tunas Muda di Sungai Ara semalam.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin; Pengerusi Koperasi Tunas Muda, Suhaimi Abdul Jalil dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Koperasi Tunas Muda.
Mengulas lanjut, Ewon berkats, koperasi yang baik adalah koperasi yang memberi manfaat serta menjaga kebajikan ahli persatuan.
Ewon dalam pada itu turut berharap bandar koperasi juga mampu diwujudkan seperti di Selangor.
“Justeru Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memainkn peranan utama untuk bantu koperasi-koperasi di negara ini mewujudkan bandar koperasi seperti yang telah diwujudkan di Selangor.
“Pada bulan September ini kita akan adakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, oleh itu perkara berbangkit yang berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang disuarakan oleh koperasi (Tunas Muda) juga akan diketengahkan bagi mencari penyelesaian,” katanya dalam sidang media berasingan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : M. VEKENESVARAN