SEBERANG JAYA – Sebagaimana dihasratkan oleh pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu bahawa pihaknya turut berharap kerja-kerja tanah bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dapat dimulakan pada hujung tahun ini.
Namun, Siew Fook berkata projek asal Kerajaan Negeri tersebut yang telah diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) kini masih dalam proses rundingan akhir berkaitan beberapa perkara berwajib.
“Kos pembinaan ini perlu dirundingkan semula…rundingan dengan pihak kontraktor masih dijalankan sebelum dimuktamadkan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 11 November 2024.
Kata Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan itu lagi, sejumlah tujuh pihak telah menyertai proses permintaan atas cadangan (RFP) dan satu pihak sahaja telah dipilih oleh kementeriannya.
“Apabila proses rundingan akhir dimuktamadkan, ia akan diangkat untuk kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya lagi.
Difahamkan, pada Januari tahun lepas, Siew Fook antara lain dilaporkan berkata bahawa kementeriannya akan mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara yang asalnya direncanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini.
Sebelum itu, Kon Yeow dan Siew Fook menyaksikan wakil Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) memeterai perjanjian persefahaman (MoA); serta majlis menandatangani perjanjian induk (HoA) antara RAC dan pemaju, Rivanis Ventures Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan projek pembangunan di atas sebahagian tanah Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai.
Mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long dan Setiausaha Kementerian (MOT), Dato’ M. Jana Santhiran turut sertai majlis tersebut.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Dato’ Azhar Ahmad; Pengarah Rivanis Ventures Sdn. Bhd., Dato’ Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; dan Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI