Menteri respons bantahan pemohon PPR Permatang Tok Subuh tercicir

Admin

 

MACHANG BUBUK – Kira-kira 100 orang, mengaku sebagai penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh pada pagi tadi mengadakan bantahan secara aman terhadap Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Sewa Beli Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di sini.

Mereka mendakwa unit PPR kategori bertanah dalam projek perumahan awam itu langsung tidak ditawarkan kepada penduduk asal.

Dalam reaksi spontan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri setakad ini mengeluarkan 80 surat tawaran kepada pemohon, sungguhpun jumlah unit kediaman di sini keseluruhannya sebanyak 231 buah.

“Pada hari ini, kita menyerahkan 20 daripada 80 surat tawaran kepada pemohon yang layak, masih ada 150 lagi unit PPR belum ditawarkan kepada mana-mana pihak,” jelasnya ketika merasmikan majlis tersebut.

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC).

Selepas itu, Zuraida diiringi Jagdeep mengadakan dialog dengan 42 penama yang mengaku memohon untuk unit kediaman PPR di sini melalui agensi Persekutuan, Lembaga Kamajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), tapi langsung tidak tersenarai sebagai penerima surat tawaran pada hari ini.

“Tadi, saya telah mengadakan perbincangan dengan mereka…mereka membuat permohonan melalui (agensi persekutuan) PERDA (Lembaga Kamajuan Wilayah Pulau Pinang).

“Maka, sudah pastilah Bahagian Perumahan (Pejabat Setiausaha) Kerajaan Negeri yang menguruskan proses permohonan PPR Kampung Permatang Tok Subuh ini tidak tahu.

“Tapi tidak mengapa, saya minta Pegawai Bahagian Perumahan (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) untuk membuka kaunter di sini untuk memproses 42 permohonan (mereka yang tercicir) tadi.

“42 pemohon ini akan diberi keutamaan untuk kita tapis, sama ada layak atau tidak untuk ditawarkan PPR Kampung Permatang Tok Subuh,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut meminta Jagdeep melalui SPEC supaya memberi keutamaan kepada 42 pemohon berkenaan untuk membeli PPR kategori bertanah di sini, jika layak.

Turut serta, dua wakil jawatankuasa penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh, Hamidah Che Embi, 51, dan Rosli Shukor, 43.

Bercakap dalam sidang media sama, Jagdeep menyatakan bahawa pembeli unit PPR di sini menerusi Skim Sewa Beli hanya membayar RM205 sebulan kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh 20 tahun.

“Skim Sewa Beli ini hanya RM205 sebulan, untuk tempoh 20 tahun, pada akhir pembayaran dalam tempoh 20 tahun ini jumlah bayaran mereka keseluruhannya sebanyak RM49,000 termasuk (kenaan) faedah 2 peratus,” ujarnya sambil memberitahu harga rumah kediaman itu adalah murah berbanding nilai pasaran sebenar adalah disebabkan subsidi oleh Kerajaan.

Sementara itu, Saad Yahya, 61, dan isteri, Siti Assiah Hashim, 60, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan kerana tersenarai sebagai 20 penerima Surat Tawaran Skim Sewa Beli PPR Kampung Permatang Tok Subuh.

Menurut Saad, beliau menunggu selama hampir dua tahun sahaja, selepas membuat permohonan PPR langsung melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini, kami menyewa PPR di Flat Desa Wawasan, dekat Bukit Mertajam juga hampir 15 tahun juga.

“Tiap-tiap bulan, kami bayar RM100 sahaja, tidak ada tunggakkan langsung.

“Kerja sebagai pemandu teksi, umur dah 61 tahun, kami payah dah nak pinjam bank, tapi mujur ada Skim Sewa Beli yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama SPEC.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD