Menteri unjur Malaysia capai status negara berpendapatan tinggi tahun 2028

Admin
ed1e1d8d 985a 46a0 a2aa 433f3bbc602d KETUA Menteri (kiri) dan Rafizi Ramli dalam sedia media berkaitan seusai Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas pada 11 Disember 2024.

BAYAN LEPAS – Malaysia terlepas dua kali mencapai ambang negara berpendapatan tinggi menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun 2012 dan 2026.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berharap Malaysia tidak terlepas status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2028 nanti, jika teras pertumbuhan ekonomi negara adalah lebih baik berbanding purata pertumbuhan ekonomi global.

“Garis (negara berpendapatan tinggi) seterusnya, kalau lihat pada unjuran sedia ada, adalah pada tahun 2027 dan 2028.

“Contohnya (purata pertumbuhan) ekonomi dunia sekitar 3 peratus dan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah 5 peratus, dengan mengambil kira kadar tukaran Ringgit (berbanding 1 Dolar Amerika Syarikat) menokok RM4 ‘lebih’, unjuran sebegitu kita boleh (mencapai status negara berpendapatan tinggi),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Selangor dalam sidang media berkaitan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMke-13) Negeri Pulau Pinang Bersama Kementerian Ekonomi di sini pada 11 November 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mwnyatakan bahawa Pulau Pinang dan Selangor ketika ini merupakan negeri pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan bagi sektor pembuatan berkaitan kecerdasan buatan.

“Tumpuan Kerajaan (Persekutuan) dalam RMKe-13 (Rancangan Malaysia Ke-13) adalah untuk memastikan rantaian nilai itu dapat dibina bagi mewujudkan syarikat-syarikat tempatan yang boleh mengambil bahagian dalam rantaian nilai.

“(Sebagai contoh,) apabila bercakap mengenai AI, kita ingat hanya mengenai robot boleh terbang dan sebagainya, tetapi di belakang semua itu adalah bahagian untuk AI itu sendiri iaitu ‘compute power’ seperti cip, papan litar, acuan dan sebagainya.

“Dalam banyak-banyak negeri, negeri yang mempunyai ekosistem rantaian nilai (serta) boleh mengambil bahagian dalam industri baharu berkaitan industri semikonduktor (AI) yang sedang menjadi tumpuan Kerajaan (Persekutuan) ini adalah Pulau Pinang.

“Kita (Malaysia) ada dua Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC design) iaitu di Pulau Pinang dan Selangor, masing-masing dapat bersaing; kita harap persaingan antara dua negeri ini menjana pertubuhan pelaburan lain,” ujarnya lanjut.

Dalam perkembangan lain, Rafizi memberitahu bahawa beliau percaya 85 peratus isi rumah akan mendapat manfaat daripada subsidi petrol jenis RON95, berdasarkan proses janaan data dari Pengkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkongsi pentas Libat Urus RMKe-13 bersama-sama Rafizi.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulkifli Long dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS