Mesin sisa komposit proses sisa domestik kepada baja

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

GEORGE TOWN – Inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempergiatkan kaedah pemprosesan makanan kepada bahan cecair untuk digunakan sebagai baja tanaman berjaya mengurangkan sisa domestik harian terkumpul dari 650 tan metrik kepada 520 tan metrik tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, menerusi inisiatif tersebut, ia akan dapat mengurangkan masalah serangga perosak serta sisa makanan dan menjimatkan kos mengutip serta memusnahkan sisa makanan.

“Sehingga kini, hanya Pasar Awam Pulau Tikus, Pasar Awam Bayan Baru dan Pasar Awam Lebuh Campbell yang dilengkapi dengan mesin sisa komposit.

“Justeru, pihak majis dalam usaha melengkapi keseluruhan pasar basah di negeri ini dengan mesin tersebut pada masa akan datang,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Bio-Regen Food Conversion Unit di Pasar Awam Campbell di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Turut hadir, ADUN Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar.