Mesti capai dua sasaran besar, baru Pulau Pinang boleh beralih ke Fasa 3 PPN – Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menyasarkan 40 peratus pemohon vaksin menerusi aplikasi pintar MySejahtera lengkap mendapatkan dua dos vaksin pada hujung bulan Ogos ini, selain 100 peratus lengkap mendapatkan dos pertama pada awal bulan September.

 

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa dua sasaran besar itu adalah penting demi memastikan status Pulau Pinang dapat beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pulau Pinang mempunyai populasi dewasa seramai 1.384 juta orang, namun pendaftaran semasa vaksin berada pada paras 82 peratus, bermakna 200,000 ke 300,000 orang lagi belum mendaftar, (dan) saya menyeru kepada baki (populasi) ini untuk mendaftar secepat mungkin.

 

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) berharap kapasiti 100 peratus dos pertama pada awal September ini, yang mana sesiapa yang berkelayakan untuk divaksin akan menerima dos pertama pada waktu tersebut.

 

“Melihat kepada pengoperasian pusat-pusat vaksin, saya harap 40 peratus dos kedua dapat dicapai pada penghujung Ogos ini.

 

“Ini merupakan salah satu syarat untuk bergerak dari Fasa 2 ke Fasa 3 (PPN),” jelasnya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lapangan dekat kilang Plexus Manufacturing Sdn. Bhd. (Plexus) di sini pada 17 Julai 2021.

Turut mengiringi adalah Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin serta Presiden APAC Plexus Manufacturing Sdn. Bhd., Victor Tan.

 


Sebelum itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut mengadakan lawatan kerja ke PPV lapangan dekat kilang Intel Technology Sdn. Bhd. (Intel) di sini.

 

Dengan diiringi Naib Presiden Korporat Intel, Robin Martin, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya begitu berpuas hati dengan pengoperasian PPV lapangan berkenaan kerana mencapai sasaran kapasiti pemberian vaksin harian.


“Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk saling bekerjasama dengan pihak berkaitan demi memastikan sesetengah PPV lapangan yang dibuka menerusi PIKAS (Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta) untuk meneruskan operasi sehingga semua pekerja (industri) lengkap mendapatkan dua dos vaksin,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD