MFB, Persatuan Jurumasak Pulau Pinang berganding bahu sedia dan edar 700 juadah percuma

Admin

GEORGE TOWN – Mutiara Food Bank (MFB) buat julung kalinya mengambil insiatif menjalinkan kolaborasi dengan pertubuhan World Chef Without Borders, Persatuan Jurumasak Pulau Pinang mengedarkan 700 pek juadah percuma kepada para petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan baru-baru ini.

Program murni dengan tagline ‘Beramal Tanggungjawab Kita Bersama’ itu berlangsung pada 3 Julai lalu bertempat di dapur MFB dekat Kompleks Masyarakat Penyayang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFB, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) persatuan berkenaan telah menghantar 21 sukarelawan yang terdiri daripada chef bertauliah.

“Mereka (chef) telah bergandingan bahu memasak dan menyediakan beberapa jenis juadah seperti nasi berlauk, roti bun, muffin dan kek sebanyak 700 pek.

“Manakala, bahan-bahan masakan yang digunakan untuk menyediakan kesemua juadah termasuklah perkakasan untuk membungkus sepenuhnya disumbangkan orang awam kepada pihak MFB.

“Sejumlah 400 pek juadah makanan kita agihkan mengikut pecahan di 10 sekatan jalan raya (SJR) seluruh Pulau Pinang, manakala 300 pek lagi disalurkan kepada tiga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan rumah kebajikan (2),” ujarnya pada penganjuran program berkenaan di sini baru-baru ini.

Tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang terlibat dengan pengagihan sumbangan ini adalah KADUN Tanjung Bunga, Pulau Tikus dan Kebun Bunga, manakala dua rumah kebajikan masing-masingnya Peace Children Care Centre (PCCC) dan Karunai Oyiyam Charity Centre.

Justeru, menyedari ramai yang terkesan dek pandemik Covid-19, Muhammad Zakwan mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Saya menyeru orang ramai untuk terus menyumbang supaya program kebajikan seumpama ini dapat diteruskan dan memberi manfaat kembali kepada masyarakat yang terkesan dan memerlukan bantuan,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MFB