MFL hargai sokongan Kerajaan Negeri dalam pembangunan sukan bola sepak

Admin
whatsapp image 2024 06 06 at 14.30.23

GEORGE TOWN – Presiden Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sumbangan dan sokongan dalam pembangunan sukan bola sepak selama ini.

Beliau menyatakan demikian pada sesi kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi dengan diiringi Pengurus Besar Penang FC yang juga Ahli Lembaga Pengarah MFL, Jeffrey Chew Gim Eam.

Menurut Ab Ghani, sokongan Kerajaan Negeri amat diperlukan dalam memastikan survival dan pembangunan sukan terbabit pada masa hadapan.

“Pihak MFL menghargai sokongan dan sumbangan Kerajaan Negeri dalam membangunkan sukan bola sepak bukan sahaja untuk negeri Pulau Pinang tetapi juga negara,” ujarnya.

Pada pertemuan yang turut dihadiri oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, Ab Ghani turut memaklumkan kepada Kon Yeow berhubung perkembangan semasa sukan bola sepak termasuk isu kebajikan, penggajian pemain dan jurulatih, penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR System), siaran langsung perlawanan, sumbangan dana serta pembangunan pengadilan.

Turut disentuh adalah prestasi semasa pasukan Penang FC yang mana tiga orang pemain Pulau Pinang yang menyarung jersi Malaysia bakal berentap menentang Republik Kyrgyzstan malam ini dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT