Oleh: YAP LEE YING
Gambar: IDZHAM AHMAD
TANGGAPAN umum bahawa resdung adalah penyakit hanya berkait dengan masalah hidung ‘tersumbat’ adalah salah sama sekali. Ini kerana, menurut pengamal perubatan tradisional yang terkenal dengan rawatan resdung di Balik Pulau, Rosnani Che Mat, resdung bukan hanya terhad kepada ‘masalah’ di hidung, sebaliknya, ia turut membabitkan simptom-simptom seperti bersin, hidung berair, jerawat, tidak boleh bernafas, hilang deria bau, rambut gugur dan bintik-bintik hitam di muka (jeragat) membabitkan kebersihan di muka secara keseluruhan.
Tahap keseriusan resdung seseorang boleh dikesan melalui hasil rawatan yang dijalankan. Kebetulan, lawatan Buletin Mutiara (BM) baru-baru ini di kediaman beliau di Jalan Bharu, Balik Pulau turut didatangi seorang pesakit dalam lingkungan usia 20-an. Justeru, BM dapat memerhatikan keseluruhan proses rawatan yang memakan masa kira-kira setengah jam.
Rosnani, 31, yang mewarisi teknik rawatan resdung tiga generasi (kira-kira 30 tahun) daripada keluarga suaminya menyatakan bahawa tahap keseriusan resdung seseorang pesakit dapat diukur melalui ‘kepedihan’ dan ketebalan lapisan habuk pada permukaan muka semasa serta selepas rawatan.
“Sekiranya pesakit berasa pedih di muka dan dalam hidung (melalui asap yang memasuki hidung), maknanya, terdapat banyak ‘kotoran’ atau resdung pada bahagian berkenaan.
“Ini juga dapat diukur melalui ketebalan habuk kuning yang ‘keluar’ pada muka pesakit. Makin tebal, maka, makin serius,’’ kata Rosnani yang turut menyarankan bahawa seseorang perlu mendapatkan rawatan resdung setiap tiga bulan bagi menjamin kebersihan muka masing-masing.
Bagi Rosnani yang berasal dari Bachok, Kelantan dan keluarga seni, tiada pantang larang khas untuk mengamalkan rawatan tradistional berkenaan. Baginya, teknik paling mencabar adalah untuk menghasilkan kain resdung.
“Tempoh masa kira-kira sehari diperlukan untuk menghasilkan kain resdung menggunakan kain khas (menyerupai kain kapas) yang diimport pembekal tempatan dari negara China.
“Kain sepanjang 37 meter pada mulanya perlu diukur, ditanda, dikoyak kecil-kecil dan dijampi khas dengan ayat al-Quran sebelum disapu lilin yang dimasak untuk menjadikannya keras.
“Kebiasaannya, bagi pengamal-pengamal lain, hanya lima kain resdung digunakan bagi setiap rawatan, namun, di sini, sudah menjadi tradisi keluarga menggunakan 10 kain yang mana ia lebih berkesan dan pelanggan juga berasa lebih puas,’’ jelas beliau.
Ketika ditanya cabaran yang dihadapinya, Rosnani yang bersuara halus menyatakan bahawa tiada kesusahan mahupun kesukaran yang dihadapi beliau.
“Asalkan ada minat, semua menjadi senang terutamanya dalam memperlajari tekniktekinik rawatan,’’ ujarnya yang pernah menyembuhkan seorang jururawat yang telah botak kepala ekoran resdung melalui rawatan selama tiga bulan.
Selain warga tempatan, rawatan resdung Rosnani turut memperoleh perhatian pesakit dari Arab Saudi, Sungai Petani, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan lain-lain.
Kemahiran Rosnani bukan hanya terhad kepada rawatan tradisional, malah, beliau turut mengusahakan perusahaan bedak sejuk yang turut menjadi tradisi turun – temurun keluarganya.
Umumnya, terdapat empat jenis bedak sejuk dihasilkan beliau iaitu yang biasa, aloevera, susu kambing dan air gamat.
Lain daripada yang lain, keistimewaan bedak sejuk Rosnani adalah ia dicampur dengan serbuk batu nasila yang dipercayai memberi kesan lebih efektif dan tahan lebih lama berbanding campuran beras biasa yang dipercayai mampu mengeluarkan bau hapak apabila disimpan lama.
Bahan-bahan lain yang turut dicampur adalah pewangi dan air mawar bagi mengharumkan produk dihasilkan.