Misi negeri pintar dan bertaraf antarabangsa, tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi melibatkan transformasi digital – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mampu memainkan peranan sebagai sebuah hab berteknologi tinggi di wilayah utara sekiranya transformasi digital dan penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan dengan teliti sejajar dengan hasrat menjadi negeri pintar serta bertaraf antarabangsa.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang menyifatkan Pulau Pinang kini berada di landasan tepat untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

“Pastinya, Kerajaan Negeri hari ini akan meneruskan misi untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang pintar dan bertaraf antarabangsa, dan pada masa sama, tumpuan harus diberikan terhadap pertumbuhan ekonomi melibatkan transformasi digital.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga akan mempergiatkan usaha ke arah Revolusi Industri 4.0 yang perlu diterapkan dalam setiap sektor di negeri ini sekaligus mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab berteknologi tinggi terpenting di wilayah utara ini,” ujarnya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh wartawan Jabatan Penyiaran di ibu pejabat RTM Pulau Pinang di sini tadi.

CHOW Kon Yeow ketika ditemu bual oleh wakil RTM dekat sini, tadi.

Menurut Kon Yeow, apabila Pulau Pinang mampu berperanan sebagai hab berteknologi tinggi, secara tidak langsung ia akan memberikan impak positif terhadap pembangunan di negeri ini.

“Peluang pekerjaan akan tercipta, rakyat juga dapat menikmati pendapatan tinggi, dan yang paling penting adalah kebergantungan terhadap warga asing dapat dikurangkan.

“Begitu juga apabila kita (Kerajaan Negeri) menambah baik infrastruktur, maka ketersambungan (connectivity) dapat ditingkatkan. Contohnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), sekiranya diperbesarkan, maka ia akan menggalakkan kemasukan pelabur luar dan juga pertambahan penerbangan pergi balik yang akan merancakkan lagi pembangunan di negeri ini.

“Hal ini kerana, survival ekonomi Pulau Pinang adalah bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, sekiranya transformasi digital berjaya diselaraskan maka produktiviti juga akan bertambah,” katanya yang turut berpendapat bahawa kemudahan jaringan telekomunikasi juga perlu ditingkatkan.

Tambah beliau, sebagai sebuah kerajaan, pihaknya perlu menyediakan rakyat Pulau Pinang untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

“Apalah makna pembangunan kini sekiranya rakyat tidak dapat menikmatinya nanti.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan pembangunan menyeluruh (inclusiveness) supaya bukan sahaja dapat menyediakan rakyat untuk hadapi cabaran masa depan, tetapi juga menyediakan anak-anak (generasi kini) untuk masa hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, Kon Yeow hadir ke ibu pejabat RTM Pulau Pinang bagi bicarawara eksklusif bersama-sama MUTIARAfm.

Selain berkongsi latar belakang keluarga dan pendidikan, beliau turut berkongsi makanan kegemaran dan penglibatan beliau dalam dunia politik bersama-sama DJ ABI dan DJ Mimie.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI