Misi pasca banjir, Pulau Pinang hantar Skuad Ihsan MADANI ke Kelantan

Admin
img 20241217 wa0012

GEORGE TOWN – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke Kelantan sebagai sokongan dan bantuan pasca bencana banjir.

 

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long berkata, pasukan yang terdiri daripada 32 penjawat awam, bertolak pada pagi ini dan akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula esok.

 

 

Pada hari ini, Skuad Ihsan MADANI Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bertolak ke negeri Kelantan bagi membantu saudara-saudara kita yang terjejas akibat banjir di negeri tersebut.

 

 

“Seperti yang kita semua sedia maklum, banjir yang berlaku bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda tetapi turut meragut ketenangan jiwa mangsa-mangsa yang terlibat.

 

img 20241217 wa0011
SKUAD Ihsan MADANI Pulau Pinang bersama-sama Zulkifli Long (duduk, empat dari kiri) dan Lim Siew Khim (duduk, empat dari kanan) sebelum sesi ‘flag off’ pagi ini.

 

“Ada yang kehilangan tempat berteduh, sumber rezeki, dan ada yang terpisah daripada orang tersayang. Situasi ini amat menyayat hati dan memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

 

 

“Bantuan yang kita hulurkan ini bukan sekadar memberikan kelegaan sementara, tetapi juga sebagai suntikan harapan kepada mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.

 

 

Ini adalah bukti nyata keprihatinan dan semangat persaudaraan kita dalam membantu mereka menghadapi dugaan selaras dengan nilai-nilai Ihsan MADANI yang kita pegang.

 

 

“Saya percaya bahawa bantuan yang diberikan ini bukan sahaja berbentuk keperluan fizikal, tetapi ia juga lambang solidariti dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

 

 

Beliau berkata demikian pada sesi ‘flag off‘ sukarelawan Skuad Ihsan MADANI yang terdiri daripada penjawat awam PSUKPP serta anggota agensi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarela Malaysia Negeri Pulau Pinang (RELA), di Komtar pagi ini.

 

 

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Abdul Kahar Abdullah; Pegawai Daerah Timur Laut, Dato’ Rosli Halim serta barisan Ketua Jabatan dan wakil agensi berkaitan.

 

 

Terdahulu, Zulkifli bersama-sama Siew Khim menyempurnakan sesi pelepasan Skuad Ihsan MADANI Pulau Pinang di sini.

 

 

Difahamkan, para sukarelawan dijadualkan tiba di Kelantan pada petang ini dan akan bergerak ke lokasi pembersihan membabitkan bangunan kerajaan pada keesokan harinya sebelum bertolak pulang pada hari Khamis nanti.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING