Misi pelaburan ke Amerika Syarikat kukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan pelaburan

455025787 1285895736225280 5372701946117472302 n

GEORGE TOWN – Projek pelaburan yang diperoleh melalui misi pelaburan dan perdagangan ke Amerika Syarikat pada 4 Ogos lalu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan pelaburan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, selain itu, misi tersebut juga telah berjaya menambah keyakinan syarikat-syarikat berpotensi untuk memulakan pelaburan di negeri ini.

 

“Platform ini (misi pelaburan dan perdagangan) adalah sebagai medium promosi untuk (syarikat-syarikat tersebut) memilih Pulau Pinang sebagai lokasi elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralatan, peranti perubatan, Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), ekonomi digital dan sebagainya,” ujarnya.

 

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk, Lee Khai Loon pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

whatsapp image 2024 11 22 at 10.18.14
CHOW Kon Yeow.

Menurut Kon Yeow, misi pelaburan tersebut juga membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui perkembangan terkini serta hala tuju pembangunan syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang dilawati.

 

Kita (Pulau Pinang) dapat memahami kekangan yang dihadapi oleh pengoperasian mereka di sini yang mana maklumat-maklumat ini penting supaya tindakan segera dapat diambil untuk membantu serta memudah cara pelaburan mereka.

 

“Di samping itu, perkembangan terkini di Negeri Pulau Pinang termasuk projek menaik taraf infrastruktur seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Pulau Silikon serta inisiatif baharu seperti Penang Silicon Design @5km+ dan Penang STEM Talent Blueprint juga dikongsi dengan para pelabur,” ujarnya.

 

Menjawab mengenai nilai pelaburan yang diperoleh, Kon Yeow memaklumkan bahawa projek pelaburan sama ada baharu mahupun lanjutan merupakan pelan jangka panjang yang mana nilai pelaburan tidak dapat dilihat pada kadar serta-merta.

 

“Namun begitu, Kerajaan Negeri dapat mengeratkan hubungan dengan ibu pejabat korporat pelabur Amerika Syarikat yang telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan mereka,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menyenaraikan beberapa syarikat perusahaan di sana yang sempat dilawatinya.

 

“Antaranya Agilent Technologies, AMD Incorporated, Brooks Instrument, Centific, Coherent Incorporated, Cohu Incorporated, Dexcom Incorporated, Effinic Incorporated, Lattice Semiconductor dan Mattel Incorporated.

 

“Selain itu, MKS Instruments, Monolithic Power System Incorporated, SambaNova Systems Incorporated, Synopsys Incorporated, TTM Technologies, UST Global, Western Global dan syarikat-syarikat berpotensi lain,” jelas ADUN Padang Kota itu.

 

Pada 4 hingga 14 Ogos lalu, Kon Yeow yang mengetuai misi pelaburan dan perdagangan ke Amerika Syarikat untuk memperbaharu serta mengukuhkan hubungan dengan ibu pejabat korporat pelabur Amerika di Pulau Pinang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR