Mohd. Balkish angkat sumpah jawatan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri yang baharu

Admin
whatsapp image 2024 06 05 at 09.19.24

GEORGE TOWN – Mantan Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd. Balkish Othman mengangkat sumpah jawatan sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri yang baharu berkuat kuasa 4 Jun 2024.

 

Pelantikan Mohd. Balkish adalah bagi menggantikan Muhamad Azrai Mohamad Zaini yang bertukar ke Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sebagai Setiausaha Sulit kepada TYT.

 

Upacara lafaz ikrar sumpah setia jawatan dan kerahsiaan disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan disaksikan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco); Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Roslinda Mohd. Shafie dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang juga mempengerusikan Mesyuarat Exco selepas itu, menzahirkan ucapan penghargaan kepada Muhamad Azrai.

 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Encik Muhamad Azrai atas perkhidmatan beliau sebagai Setiausaha Mesyuarat Exco dan juga sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri sejak tahun 2016.

 

“Semoga beliau dapat meneruskan usaha dalam membantu Pulau Pinang menjadi negeri maju yang mana sebelum ini beliau juga mengemudi (Unit) Penang2030 serta memantau manifesto Kerajaan Negeri.

 

“Pada masa yang sama, saya berharap Encik Mohd. Balkish dapat meneruskan agenda Kerajaan Negeri khususnya di Pejabat Ketua Menteri bersandarkan pengalaman penjawatan sebelum ini.

 

“(Dan) membantu pimpinan negeri dalam menambah baik pengurusan dan mempertingkat kecekapan dalam pengendalian Mesyuarat Exco dan Pejabat Ketua Menteri,” ujar Kon Yeow.

 

Sebelum ini, Mohd. Balkish yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu itu, pernah berkhidmat di Pejabat Pembangunan Negeri sebelum ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan pada tahun 2019.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN