SEMANGAT kekeluargaan dan persaudaraan yang diterapkan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendorong beliau menyertai badan beruniform tersebut pada tahun 1997.
Kini, beliau yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang sejak bulan Julai 2021.
Berperwatakan tegas, pemilik nama DATO’ MOHD. SUHAILY MOHD. ZAIN itu sudi menerima permintaan Buletin Mutiara untuk ditemu ramah di pejabatnya baru-baru ini.
Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh wartawan, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN untuk menyingkap perjalanan serta pengalaman orang nombor satu PDRM Pulau Pinang berkenaan.
Kerjaya Awal
Menurut Mohd. Suhaily, arwah bapanya menabur khidmat bersama-sama pasukan PDRM dan apabila tamat pengajian di UIAM, dunia menghadapi krisis ekonomi yang drastik.
Justeru, beliau membuat keputusan untuk menyertai pasukan polis dan sejurus tamat latihan, beliau ditempatkan di bahagian cawangan khas.
“Saya pun tidak pasti sebab saya ditempatkan di unit cawangan khas, mungkin ada kesesuaian tertentu yang pucuk pimpinan PDRM lihat.
“Selepas lima tahun berkhidmat di cawangan berkaitan, saya diterbangkan ke wilayah bergolak, Kosovo selama 18 bulan.
“Di Kosovo, saya menggalas tugasan berat sebagai komander termuda iaitu pada usia 30 tahun dan dalam tempoh tersebut, pengalaman di sana memang banyak mengajar saya, terutamanya ancaman-ancaman di wilayah seperti itu,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Tahun 2004, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat dalam cawangan khas selaku Deputi Superintendan. Beliau kemudian dihantar melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Singapura. Setelah tamat pengajian, Mohd. Suhaily kembali diserapkan semula ke bahagian perkhidmatan yang sama.
Tidak lama selepas itu, beliau diamanahkan untuk membuka Pejabat Atasye PDRM di Washington DC, Amerika Syarikat. Setelah pulang ke tanah air, Mohd. Suhaily diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak sebelum kembali semula ke bahagian cawangan khas dan menjawat penjawatan beliau kini di Pulau Pinang.
Ketua Polis ‘muda’
Tidak dinafikan, lantikan beliau sebagai Ketua Polis Negeri Pulau Pinang sebelum mencecah usia 50 tahun menimbulkan beberapa keraguan pada umum, namun ketika diutarakan persoalan berkaitan, Mohd. Suhaily mempunyai pendapat tersendiri mengenai istilah ‘usia muda’.
“Bagi saya umur itu subjektif, sekiranya ingin dibandingkan dengan anugerah yang pernah saya terima, memang diakui ia hadir pada usia muda.
“Tun Abdul Razak pun menjadi Perdana Menteri pada usia yang agak muda, apa yang lebih penting adalah kualiti kerja kita, jujur dalam berkhidmat… itu yang akan dinilai oleh semua orang dalam karier kita.
“Saya pun banyak belajar daripada senior-senior untuk menjadi lebih baik,” kata figura yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkaitan.
Kawalan emosi penting
Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Mohd. Suhaily adalah ketika berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Teluk Intan pada tahun 2016.
“Sebuah keluarga yang dihimpit kemiskinan, bekerja sebagai nelayan, didorong pula oleh kurangnya didikan agama menjadikan keluarga tersebut terlalu ‘bebas’ dan berlakunya sumbang mahram dalam keluarga berkaitan.
“Selepas menerima laporan, polis menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk selamatkan kanak-kanak dalam keluarga itu.
“Walaupun ‘diselamatkan’, ia telah menyebabkan keluarga tersebut berpecah belah dan ketika itu emosi memang kuat… ia merupakan pengalaman dalam penjawatan yang saya tidak dapat lupakan,” ceritanya sambil menekankan kepentingan peranan masyarakat untuk membendung masalah sosial dalam komuniti.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa seseorang anggota atau pegawai polis juga merupakan manusia biasa yang tidak dapat lari daripada situasi-situasi yang menjentik emosi serta membangkitkan amarah.
“Contohnya, apabila terima laporan penderaan kanak-kanak, pembunuhan, rogol dan kejadian-kejadian menyentuh hati…perasan itu juga terpaksa dibawa pulang ke rumah.
“Balik rumah anak datang main dengan kita, jadi semua itu perlu kawalan emosi yang kuat dan tinggi, kerana anggota polis juga manusia yang tidak lari daripada kesilapan serta emosi,” kongsinya.
Proaktif dan pantas tangani jenayah
Mohd. Suhaily menyatakan bahawa notis pertukarannya ke Pulau Pinang adalah amat pendek, namun saya tidak menolak dan sentiasa bersedia.
“Saya sedar saya akan menerajui pasukan yang besar dan negeri yang tidak kurang hebatnya, justeru, sebelum ke sini (Pulau Pinang), saya sendiri dapatkan nasihat daripada mantan ketua-ketua polis lain.
“Apa yang diberi (pertukaran) oleh PDRM saya terima, saya percaya kekuatan sebenar kita adalah suatu yang kita sendiri tidak tahu.
“Dalam penugasan, walaupun ada yang menyifatkan saya seorang yang strict, itu normal cuma jangan autocratic,” katanya sambil berseloroh.
Sepanjang lapan bulan di Pulau Mutiara, Mohd. Suhaily dan pasukannya proaktif dan pantas melakukan analisis terutamanya melibatkan kegiatan jenayah.
Kongsi beliau, dalam dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 80 peratus kes jenayah adalah berkait dengan penagih dadah.
“Daripada perspektif tersebut, bagi saya, kita kena gempur dadah dengan lebih agresif lagi pada tahun ini.
“Tahan penagih, tahan pengedar, permintaan akan turun, namun harus diingatkan bahawa apabila kita ‘potong’ rantaian edaran, maka akan ada lagi rantaian baru akan muncul.
“Namun, saya percaya kerja keras jabatan narkotik dan pasukan lain, masalah ini akan berjaya dikawal jua,” ujarnya.
Mengulas mengenai anggapan umum yang menyatakan Pulau Pinang merupakan lubuk penyeludupan dadah, beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana tiada statistik tepat.
“Tetapi, memperlihatkan kedudukan geografi Pulau Pinang, tidak dinafikan bahawa ia memudahkan aliran keluar masuk bahan terlarang itu,’’ jelasnya lanjut.
Harapan
Menyentuh persepektif harapan, Mohd. Suhaily ingin menghidupkan lagi slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Perancangan saya adalah mahu hubungan polis dan masyarakat lebih transparent (telus).
“Saya ingin melihat kesalinghubungan polis dan masyarakat itu lebih erat seterusnya menjalin kerjasama bersama-sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan PDRM supaya ia lebih dijiwai rakyat,” katanya sebelum menutup bicara pada pertemuan pada 14 Mac lalu.