SELARI dengan Visi Penang2030, kadar kitar semula di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ketika ini mencapai 57.36 peratus, dengan menyasarkan pada kadar 70 peratus menjelang tahun 2030.
Sekiranya momentum ‘hijau’ ini berterusan, mungkin hasrat MBSP menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya sifar karbon menjelang tahun 2050 mungkin mampu dicapai kelak.
Bertitik tolak daripada wawasan bersama tersebut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye pada 27 April lepas telah menyertai Operasi Forensik Sampah MBSP di Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas.
Dalam operasi tersebut, beberapa unit kediaman di sana telah diberi notis amaran kerana tidak mengasingkan sisa akhir dengan sisa yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas dan botol.
Bercakap kepada pemberitahu pada waktu itu, Mooi Lye memberitahu bahawa Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang pernah dikuatkuasakan sejak tahun 2016, akan dikuatkuasakan semula mulai 1 Julai 2024.
Menurutnya lagi, mereka yang didapati tidak melaksanakan dasar tersebut di premis masing-masing kelak berisiko dikenakan kompaun maksimum RM500 oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah di mahkamah.
Menjelang tengah hari tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR cuba mendapatkan maklum balas lanjut pelbagai pihak berkepentingan di sekitar lot komersial dekat Bandar Perda Bukit Mertajam, yang tidak jauh dengan Menara Bandaraya MBSP sendiri.
Lebih 20 responden mengaku tidak tahu mengenai cadangan penguatkuasaan semula Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mulai 1 Julai ini.
Malah, rata-rata mereka menzahirkan rasa terkejut apabila diberitahu kompaun maksimum RM500 jika didapati tidak melaksanakan dasar itu, berdasarkan Undang-Undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBSP) 2016.
Pengusaha kedai runcit, MUHAMAD SYAFIQ ROSAIDI, 28, berkata seeloknya cadangan penguatkuasaan dasar tersebut ditangguhkan lagi.
“Tahun lepas (2022) memang ada ejen MBSP datang buat kempen dasar asing sisa di punca, dengan membawa pelekat kempen berkaitan.
“Dahulu, pernah juga lori sampah datang kutip sisa akhir secara khusus pada hari tertentu, sementara pada hari lain dikutip sisa boleh kitar semula secara khusus… sekarang tidak pasti.
“Memang saya pun terkejut juga apabila dengar langkah penguatkuasaan semula bermula 1 Julai ini.
“Bagi saya, denda maksimum sampai RM500 itu rasa ‘penat juga’ (membebankan) memandangkan perniagaan sekarang tidak baik seperti dahulu.
“Oleh itu, elok ditangguhkan langkah penguatkuasaan, pada masa yang sama pihak berkenaan meneruskan kempen nilai berkaitan dasar ini secara agresif,” jelasnya sambil menyifatkan Dasar Asing Sisa Di Punca wajar disambut oleh seluruh penduduk bandar raya Seberang Perai ini.
Nada yang sama turut dikongsi oleh pekerja francais ayam gunting Subdepo, AMIR FAHMI MOHAMAD ZAIDI, 20.
“Kalau ditanya kepada peniaga-peniaga, Dasar Asing Sisa Di Punca ini adalah suatu usaha yang bagus.
“Tetapi, langkah penguatkuasaan bermula 1 Julai dengan kadar kompaun maksimum RM500, saya sendiri secara peribadi terkejut.
“Saya faham tujuan penguatkuasaan ini adalah untuk mempercepatkan penduduk mengubah tabiat mereka dalam menjana sampah tiap-tiap hari.
“Namun, pihak berkuasa perlu lihat juga dari aspek yang lain seperti rata-rata rakyat kian merasai kenaikan kos sara hidup akibat beberapa perubahan dasar di negara ini, mungkin akan mengakibatkan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca ini juga akan menerima tempias yang tidak sepatutnya diterima.
“Sehubungan itu, saya berpendapat ada macam-macam cara lagi untuk pihak berkuasa menunjukkan kerelevenan mereka, antaranya menawarkan insentif seperti potongan cukai pintu tertentu bagi empunya yang dikenal pasti melaksanakan dasar ini,” jelasnya.
Bagi pencorak Barista jenama Border’s Tea, NUR NAJIHA MOHD. NAZRI, 18, tanpa langkah penguatkuasaan pun, sebenarnya kempen pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang dilaksanakan ‘secara bermusim’ peringkat MBSP sedikit banyak memang telah mengubah tabiat penduduk bandar raya ini.
“Macam di premis kami, memang ada membuat pengasingan sisa akhir dan sisa yang boleh dikitar semula seperti kotak-kotak kerana memang ada ‘pak cik’ atau pihak tertentu minta untuk keperluan mereka.
“Asing sisa akhir dan sisa kitar semula ini (telah dilaksanakan di sini) kerana kempen MBSP memang pernah sampai di pintu lot komersial kami beberapa tahun lepas…dan ini adalah dasar yang bagus.
“Cuma, sekian lama tidak mendengar kempen ini dilaksanakan dari pintu ke pintu di sini, tiba-tiba diberitahu bahawa mulai 1 Julai 2024 MBSP akan melaksanakan langkah penguatkuasaan dasar ini, saya sendiri terkejut.
“Apabila diberitahu kadar kompaun maksimum sampai RM500, bertambah terkejut saya, walaupun mengakui dasar ini adalah bagus dan wajar disambut oleh semua pihak.
“Cadangan saya, elok ditangguhkan langkah penguatkuasaan, tumpuan pada pelaksanaan kempen nilai ataupun anjur lebih banyak operasi forensik supaya dasar ini kian mendidik tabiat rakyat.
“Pendekatan sebegini lebih wajar, MBSP dilihat komited dalam pelaksanaan dasar, pada masa yang sama sensitif dengan keluh-kesah rakyat yang sedang mengharungi isu kenaikan (kos) sara hidup masing-masing,” jelasnya lagi.
Berbaki enam hari sebelum pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca pada tanggal 1 Julai nanti, beliau berkata, akhirnya terpulang pada kebijakan MBSP dan Exco berkenaan untuk membuat pertimbangan lanjut dengan mengambil kira reaksi pelbagai pemegang taruh iaitu empunya premis kediaman dan komersial di bandar raya ini.
“Tiap-tiap dasar yang hendak dikuatkuasakan, pembuat dasar bukan sahaja memikirkan aspek tujuan hakiki pelaksanaan dasar itu, malah reaksi yang bakal dihadapi di sebalik pelaksanaan dasar tersebut.
“Tidak dapat dinafikan Dasar (Pengasingan Sisa Di Punca) ini dari sudut tertentu adalah baik, cuma dari segi ‘masa’ adakah baik dikuatkuasakan pada 1 Julai ini,” jelasnya dalam nada sederhana.