Moi Chen harap JPN lulus permohonan kerakyatan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: G. REVATIC

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy mencadangkan beberapa perkara munasabah bagi membela nasib golongan tidak memiliki dokuman pengenalan diri atau orang tanpa kerakyatan di sini.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada sidang media membabitkan pembelaan terhadap 298 individu (jumlah kes direkod sehingga Jun 2013) yang masih gagal mendapatkan kad pengenalan biru.

“Antara cadangan yang ingin saya ketengahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuklah pemastautin yang berusia 50 tahun dan ke atas adalah perlu dikecualikan dalam ujian penulisan Bahasa Malaysia ekoran rata-rata daripada mereka tidak mengikuti pendidikan tinggi.

“Selain itu, pemohon-pemohon berusia 50 tahun yang memiliki anak berstatus warganegara adalah layak memperoleh status sama secara automatik,” tegasnya di sini baru-baru ini.

Sebagai inisiatif khas dalam menyelesaikan masalah kerakyatan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri pada Februari 2013 telah menubuhkan Jawatankuasa Pembantu Kewarganegaraan dengan melantik lima Pembantu Kewarganegaraan yang ditempatkan di setiap daerah.

Tambah Ramasamy, sebelum ini terdapat kes-kes individu yang mana mereka berjaya memperoleh taraf kewarganegaraan hanya selepas kes masing-masing disiarkan di akhbar.

“Justeru, saya juga bercadang menyiarkan kes-kes sedemikian di dalam akhbar dengan melantik seorang peguam bagi memfail dan membicarakan kes-kes yang layak di mahkamah kelak,” jelas beliau.

Menurutnya, antara masalah yang sering dihadapi para pemohon adalah birokrasi serta ketidakpastian dalam mencari waris berkaitan serta kes meniggal dunia.

Salah seorang pemohon yang pernah memohon taraf kewarganegaraan dan tidak berjaya, Yong Moi Chen, 21, berkata, beliau menghadapi masalah permohonan kerakyatan kerana ibunya berasal dari Filipina, walaupun bapanya adalah dari Pulau Pinang.

“Buat masa sekarang, saya hanya mempunyai surat beranak sahaja.

“Adalah sukar untuk mencari ibu kandung saya kerana beliau telah pulang ke negara asal. Tambahan pula, saya tidak dibenarkan untuk membuat pasport.

“Perkara ini benar-benar menyusahkan saya, kerana saya juga tidak mampu memohon lesen kenderaan, kad bank dan susah untuk mendapat pekerjaan juga,” ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier di sini.

Jesteru, Moi Chen amat berharap permohonan beliau dapat diluluskan pihak JPN memandangkan terdapat undang-undang kerakyatan negara yang membenarkan zuriat yang dilahirkan di Malaysia oleh ayah yang mempunyai taraf warganegara Malaysia untuk layak mendapat hak sama.