“Most Mee Goreng Sotong Giveaway” oleh tiga generasi peroleh pengiktirafan MBOR

Admin
653db1b5 4033 41b9 afc3 8ccdc69a3475

GEORGE TOWN – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Young Muslim Sports Club (YMSC) bersama-sama Seeni Food & Beverage Sdn. Bhd. hari ini berjaya memperoleh pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Most Mee Goreng Sotong Giveaway” secara percuma kepada orang awam.

3939a97b ebb2 4274 b90a e68e48853ee4
DARI kiri, Seeni Mohamed, Muhammad Hafiz dan Sheik Abidin menunjukkan demonstrasi menggoreng mi.

Difahamkan, tepat jam 3.45 petang tadi, sebanyak 10,200 pek mi goreng berjaya direkodkan dan digoreng oleh tiga generasi keluarga sama iaitu Sheik Abidin AKM Mustaffa, 80; anaknya, Seeni Mohamed Sheik Abidin, 47, dan cucu, Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamed, 24.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran program sebegini mampu menjadi wadah dalam menyatu padukan rakyat demi menjayakan satu inisiatif amat bermakna yang mana ia mencabar sejauh mana keupayaan serta keyakinan sesebuah pertubuhan dalam mendapatkan sokongan daripada masyarakat selari dengan Visi Penang2030 di bawah Tema C iaitu ‘Memperkasakan Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam’.

“Saya difahamkan bahawa program hari ini merupakan hari kedua penganjuran memasak tanpa henti selama 24 jam yang diusahakan oleh pihak YMSC, dan di negeri ini, Kerajaan Negeri sememangnya menggalakkan komuniti untuk sentiasa aktif dalam menganjurkan pelbagai program serta inisiatif.

“Ini adalah supaya kita dapat sama-sama menggemblengkan tenaga menjayakan projek bagi memperkasakan komuniti ke arah jati diri, disiplin dan akhirnya mencapai kemajuan demi kebaikan semua pihak,” ujarnya semasa majlis penutup program berkenaan dekat Padang Kota Lama di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Presiden YMSC, Munawer Sadiq; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader serta wakil-wakil dari MBOR.

85f7ba81 e550 4c78 9ae7 352ba2cf1da3
KETUA Menteri semasa sesi ucaptama pada majlis penutup berkenaan.

Pada sesi sama, Kon Yeow turut menyambut baik usaha pertubuhan-pertubuhan lain mencipta rekod di bawah MBOR.

“Tahniah dan syabas diucapkan bagi kejayaan yang diperoleh pada hari ini, oleh itu saya berharap pencapaian tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pertubuhan-pertubuhan lain untuk mencipta rekod-rekod di bawah MBOR.

“Jika ditanya mengenai rekod MBOR di Pulau Pinang, dalam setahun (mungkin) sebanyak 10 hingga 20 rekod dicapai, terkini atas inisiatif Yang Dipertua (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, ‘Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena sambutan Hari Bumi’ berjaya dicapai melibatkan pelbagai lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang,” katanya.

66a8b28c 70b1 4c37 b553 83886ce9b1e3
MOMEN kenang-kenangan penyampaian plak Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Most Mee Goreng Sotong Giveaway” sebentar tadi.

Serentak itu, majlis turut diserikan dengan sesi menandatangani plak MBOR bagi kategori “Most Mee Goreng Sotong Giveaway” yang disempurnakan oleh Kon Yeow.

Sebelum ini, YMSC telah mencipta rekod pertama MBOR dengan melukis dan mengecat mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 541 meter (m) dengan ketinggian 3.3 m di tembok Jalan Tanjong Bungah.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN