MOSTI sedia bekerjasama, kukuhkan pembangunan sains, teknologi dan inovasi

GEORGE TOWN – Walaupun pendidikan bukan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun Pulau Pinang sentiasa komited menyediakan peruntukan besar bagi memastikan para pelajar di negeri ini menerima pendidikan berkualiti dalam suasana yang kondusif.

 

Antaranya, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk membangunkan Maker Lab atau Ruang Reka di sekolah-sekolah seluruh Pulau Pinang.

 

“Malah, sebagai menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, Kerajaan Negeri melalui agensi seperti Penang Science Cluster melaksanakan pelbagai program berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” ujarnya pada sesi pertemuan bersama-sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di pejabatnya sebentar tadi. 

 

Menurut Kon Yeow, sebagai sebuah negeri perindustrian, Kerajaan Negeri mahu memastikan Pulau Pinang dapat melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

 

“Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi terutama berkaitan sains dan teknologi kini telah menjadi agenda nasional yang mana semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing dengan lebih efektif.

 

“Maka perlu ‘reset’ (set semula) dan perlu ‘relook’ (lihat semula) semua yang telah dilakukan selama ini termasuk bidang sains dan teknologi, penyelidikan serta pembangunan (R&D) demi masa depan negara.

 

“Umpama kata-kata ‘Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?, maka kita perlu sekurang-kurangnya memulakan proses untuk ‘reset’,” jelasnya yang berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan semua Menteri di semua Kementerian kelak.

 

Bersetuju dengan kata-kata Kon Yeow itu, Lih Kang menyatakan bahawa semua pihak termasuk Kementerian berkaitan perlu memastikan pembaharuan dalam bidang pendidikan, terutamanya melibatkan subjek-subjek sains teras.

 

“Di MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), sememangnya kami mempunyai perancangan untuk membanyakkan lagi program-program sehingga ke peringkat akar umbi.

 

“Malah, pihak MOSTI juga berminat untuk mempromosikan Maker Lab seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri di Pulau Pinang kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

 

“Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam apa jua lapangan berkaitan di bawah MOSTI bagi mengukuhkan lagi pembangunan sains, teknologi dan inovasi,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Malim.

 

Terdahulu, Lih Kang hadir ke Pejabat Ketua Menteri bagi mengadakan kunjungan hormat buat julung kali. Lih Kang hadir bersama-sama Setiausaha Politik kepada Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min dan Setiausaha Sulit kepada Menteri, Cheong Xue Mei.

 

Pada pertemuan tersebut, selain membincangkan isu pendidikan berteraskan sains dan teknologi, turut dibangkitkan adalah mengenai perkembangan teknologi serta perindustrian di Pulau Pinang terutama membabitkan kawasan Batu Kawan; struktur dan polisi di bawah MOSTI; program dan projek perintis di bawah MOSTI; jalinan kerjasama antara pihak Kementerian dan universiti tempatan serta pembangunan pesat Pulau Pinang dalam industri berteknologi tinggi dan pelaburan.

 

Turut sama dalam perbincangan tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang juga ADUN Komtar.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS