PADANG KOTA – Program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti Penjaja (MOVAK) hari ini memasuki Fasa 2 dengan sasaran 5,200 pemberian suntikan vaksin dos pertama kepada golongan penjaja berlesen di Pulau Pinang.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, MOVAK Fasa 2 akan mengambil masa selama empat hari di dua lokasi iaitu Dewan Sri Pinang (di bahagian pulau) dan Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi (Seberang Perai).
“Kali pertama iaitu Fasa 1 (24 Ogos) kita ada bekalan kira-kira 11,000 dos vaksin, Fasa 2 kita ada bekalan 5,200 dos yang mana 2,600 dibekalkan di bahagian pulau, 2,600 lagi di bahagian Seberang Perai.
“Kalau Fasa 1 ada lima lokasi dan ramai peniaga sudah mendapat vaksin, Fasa 2 kita kurangkan lokasi dan beri tumpuan sepenuhnya kepada kedua-dua lokasi sahaja, saya pasti kali ini kita boleh habiskan kesemuanya” ujar Jagdeep ketika melawat ke lokasi MOVAK Fasa 2 di Dewan Sri Pinang, pagi ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep, memaklumkan Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk menjalankan semula program Penang Saring COVID-19 (PSC19) secara bersasar.
“Melalui mesyuarat Exco semalam, Ketua Menteri mengarahkan saya supaya mengkaji sama ada boleh dijalankan PSC19, kalau boleh, mungkin kita akan jalankan secara bersasar.
“Kategori bersasar ini jika kita lihat dapat permintaan terbanyak adalah kepada peniaga dan penjaja-penjaja untuk program saringan tersebut.
“Kita juga telah dapat jumlah penjaja-penjaja kecil seluruh Pulau Pinang iaitu 27,068 orang penjaja berlesen,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN