MOVAK, usaha Kerajaan Negeri pulihkan kitaran ekonomi – Exco

BAGAN DALAM – Pelaksanaan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di negeri ini mendapat sambutan yang amat baik apabila jumlah penerima vaksinasi pada MOVAK 1.0 mencecah 11,000 penerima.

 

JAGDEEP Singh Deo pada sidang media sejurus mengadakan tinjauan ke Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi dekat sini pagi ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, susulan respons yang positif diterima semasa pelaksanaan MOVAK 1.0 pada 30 Ogos sehingga 2 September lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju melaksanakan MOVAK 2.0 mulai 9 September sehingga 12 September 2021.

 

Setakat semalam (10 September) seramai 2,177 individu hadir mendapatkan vaksinasi yang mana 1,275 individu di bahagian pulau (di Dewan Sri Pinang) dan di bahagian Seberang Perai (di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi) pula 902 individu.

 

“(Dan) pelaksanaan program (MOVAK) ini melibatkan golongan peniaga dan penjaja kecil serta pekerja mereka dalam usaha Kerajaan Negeri memulihkan kitaran ekonomi di negeri ini,” ujarnya sejurus mengadakan tinjauan ke Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; barisan Ahli Majlis serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Norodin.

 

Mengulas tentang situasi semasa COVID-19 di Pulau Pinang, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk melaksanakan Program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) sebagai langkah kawalan perebakan dan pengasingan.

 

Kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan di bahagian pulau melibatkan peniaga dan penjaja kecil di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP adalah seramai 27,068 individu.

 

“(Dan) saya akan membawa hasil kaijan ini untuk dibentangkan kepada Ketua Menteri supaya Fasa 2 program tersebut dapat dilaksanakan segera.

 

BAS yang diubah suai untuk kegunaan bagi program Mobilisasi Vaksin Komuniti di sini.

 

“Hal ini demikian kerana, selain pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), rakyat Pulau Pinang juga disarankan supaya mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin atau boleh walk-in ke mana-mana PPV (Pusat Pemberian Vaksin) terpilih.

 

“Selain itu, saringan secara berkala juga penting bagi pengesanan dan pengasingan awal dapat dilakukan,” jelasnya yang turut memaklumkan bahawa penerima dos lengkap (dua dos) juga boleh dijangkiti sekiranya mereka mengambil mudah situasi terkini.

 

Sementara itu, Rozali ketika ditemui memberitahu bahawa pihaknya telah mengambil inisiatif sebelum ini dengan menganjurkan program vaksinasi kepada golongan peniaga dan penjaja kecil di Seberang Perai.

 

“Setakat hari ini, MBSP telah berjaya vaksinkan 9,608 daripada 10,527 peniaga dan penjaja kecil atau sebanyak 91.27 peratus.

 

“Baki yang tidak divaksin terdiri daripada mereka yang tidak berlesen atau sedang menjalani kuarantin,” maklumnya.

 

Menurut Rozali lagi, MBSP bakal meletakkan syarat kepada semua peniaga dan penjaja kecil di bahagian Seberang Perai mulai 15 September 2021.

 

Hanya peniaga dan penjaja kecil yang sudah divaksin sekurang-kurangnya satu dos dibenarkan beroperasi.

 

“Peraturan tersebut akan membantu kelangsungan operasi perniagaan dan juga memberi kelegaan serta keselesaan kepada pelanggan yang berurusan kelak,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR